Syurga
Bismillah.
“Adik, nanti selesai urusan kahwin kakak, adikla pula ya”
Saya berkata dengan nada serius kepada seorang teman yang mesra dengan panggilan adik. Beliau adalah salah seorang sahabat UKM yang sangat saya hormati – seorang yang solehah, sederhana dan sentiasa membuat orang lain merasa senang ketika meluangkan masa bersama.
Saya merasa cukup gembira apabila adik menyampaikan berita gembira bahawa kakak akan berkahwin tidak lama lagi. Ini bermakna adik boleh lebih serius memikirkan tentang jodoh. Seingat saya adik pernah memberitahu bahawa beliau ingin kakaknya berkahwin terlebih dahulu.
“Insya-Allah Tasnim, adik nak kalau kahwin tu jalan adik ke syurga. Adik nak. Adik tak kisah apa-apa pun, adik nak masuk syurga je sebab adik ada banyak dosa.”
Allah…
Bergenang air mata mendengar kata-kata adik. Sungguh, ia kata-kata yang lahir daripada hati yang tulus dan suci mengharapkan syurga Allah SWT. Apakah lagi hajat yang lebih besar selain dapat hidup abadi di syurga Allah SWT?
Dan kata-kata ini menggambarkan sebuah mindset yang cukup indah. Jika boleh saya ungkapkan dalam kata-kata yang lain; ‘Ya Allah apa jua takdir-Mu biarlah ia jadi jalan untuk aku ke syurga. Tidak ada yang lebih aku inginkan selain syurga-Mu’
Masya-Allah. Allah SWT berikan saya pelajaran yang sangat berharga di bulan Syawal ini.
Sejak pertemuan dengan adik pada hari Sabtu yang lalu, bahagian hippocampus otak kerap memutar kembali kata-kata adik. Ia sangat memberi kesan kepada jiwa saya yang merasa payahnya perjuangan menjadi hamba Allah SWT yang baik.
Dan ia membuatkan saya bermuhasabah sejauh mana keazaman dan keinginan untuk masuk syurga menjadi satu pendorong yang kuat untuk memperbaiki amal ibadah dan bersungguh-sungguh memohon keampunan Allah SWT atas banyaknya dosa yang pernah dilakukan.
Ya, kita semua ingin masuk syurga. Namun keinginan sahaja tidak cukup, ia perlu kepada mujahadah yang berterusan selagi hayat dikandung badan. Semoga Allah SWT memberikan kita semua kekuatan jiwa untuk menempuh banyaknya ujian dan godaan dunia sehingga akhirnya kita dapat tersenyum melihat pintu syurga.
Ya Allah, kurniakanlah sahabatku ini seorang suami soleh dan bertakwa yang akan memimpin tangannya ke syurga-Mu. Ameen Ya Allah.