Jurnal Kehidupan

Belum Sampai Garis Penamat

Bismillah.

Syukur alhamdulillah Allah SWT masih meminjamkan kita nyawa untuk menikmati Ramadan yang berbaki beberapa hari lagi. Pantasnya Ramadan meninggalkan kita seperti tetamu yang tergesa-gesa ingin pulang. Seperti beberapa kerdipan mata sahaja tempohnya.

Pada saat-saat akhir sebelum sampai ke garis penamat ini, marilah sama-sama kita kuatkan kesungguhan kita dalam beribadah kepada Allah SWT. Jangan merasa lemah meskipun kita tidak dapat melakukan ketaatan dengan baik pada awal dan pertengahan Ramadan.

Kerana selagi belum sampai pada garis penamat, selagi itulah rahmat Allah SWT terbuka seluas-luasnya buat hamba yang mencari-Nya.

Sesibuk mana pun urusan dunia kita, luangkan sedikit masa untuk melakukan ibadah mengikut kemampuan yang ada. Jika mampu bertahajud, teruskan. Jika hanya mampu berzikir dan beristighfar, teruskan dengan bersungguh-sungguh. Jika hanya mampu mengangkat tangan berdoa, langitkan sebanyak-banyak doa.

Allah SWT mengetahui akan kemampuan setiap hamba-Nya. Kerana di antara kita ada yang diuji dengan urusan anak-anak, ada yang diuji dengan kesakitan, ada yang diuji dengan kesibukan mencari nafkah untuk keluarga dan pelbagai lagi bentuk ujian yang seakan-akan menyukarkan kita untuk beribadah di bulan Ramadan.

Namun yang akan dinilai Allah SWT, bukan pada banyaknya amalan, bukan pada qiamnya yang panjang tetapi pada hati yang beribadah dengan ikhlas semata-mata mengharap reda dan keampunan Allah SWT.

Jangan pernah berputus asa dengan diri, apatah lagi berputus asa dengan rahmat Allah SWT.

Luasnya kasih-sayang Allah SWT buat hamba tidak akan pernah terbayang dalam fikiran kita. Bersangka baiklah pada Allah SWT, dan letakkan setinggi-tinggi pengharapan kepada-Nya agar kita sampai ke garis penamat dalam keadaan Allah SWT mengampunkan segala dosa kita yang menggunung ini.

Jangan pula kita merasa sudah melakukan ibadah yang terbaik pada hari-hari Ramadan yang telah berlalu sehingga di penghujung ini semakin kendur pula semangat untuk beribadah. Kerana kita tidak tahu amalan mana yang Allah SWT terima lantaran hati manusia ini sentiasa berbolak-balik keadaannya.

Jika rasa malas menerpa, terus beristighfar dan lintaskan doa di dalam hati agar Allah SWT berikan kekuatan untuk beribadah dan jauhkan daripada kita sifat lemah dan malas.

Iman akan meningkat dengan ketaatan dan berkurang dengan perkara maksiat dan sia-sia. Sabda Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya iman benar-benar bisa menjadi usang di dalam tubuh seseorang dari kalian sebagaimana usangnya pakaian. Maka memohonlah kepada Allah supaya memperbarui iman di hati kalian!”

(HR. Hakim, 1/4, At Thabarani, no. 14668, dari sahabat Abdullah bin Amru, dinilai shahih oleh Albani dalam shahihul Jami’, no. 1590).

Mari kita sama-sama membaca doa yang diajarkan Baginda Nabi Muhamamd SAW kepada Muaz bin Jabal – doa agar kita diberikan kekuatan untuk beribadah kepada Allah SWT.

اَللّهمَّ اَعِنِّيْ عَلىَ ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir mengingatiMu dan mensyukuri segala nikmatMu serta beribadah kepadaMu dengan baik.”

Riwayat Abu Daud (1522)

Doa ini Nabi mengajarkan Muaz membacanya pada penghujung solat. Boleh dibaca selepas memberi salam ataupun sebelum memberi salam (selepas bacaan tahiyat akhir).

Semoga Ramadan kali ini menjadikan kita hamba Allah SWT yang salih dan bertakwa. Amin Ya Allah.

Wallahua’lam. Fastabiqul khayrat!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *