Jurnal Kehidupan

Untuk Kita Yang Masih Hidup

Bismillah.

Terasa berat sekali hendak menulis. Namun perlu juga dipaksakan akal, tangan dan hati untuk menaip bagi mencurahkan bebanan hati dan perasaan. Selalunya ada perkara yang akan sering menyesakkan akal fikiran selagi ia tidak dimuntahkan di ruangan blog ini.

Entahlah. Bulan Ramadan kali ini sedikit berbeza berbanding tahun lalu. Ramadan yang lalu ada ujian yang menguatkan pergantungan hati dengan Allah SWT. Masih terasa indahnya tawakal dalam pahitnya menempuh ujian. Sungguh, saya sangat menikmati Ramadan itu berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ramadan kali ini penuh kesayuan.

Hampir setiap hari menerima khabar berita perginya seorang hamba kembali kepada Tuhannya. Ada yang kemalangan dilanggar orang, ada yang terbabas kerana terlanggar lubang, ada yang pergi setelah menanggung kesakitan dalam sekian tempoh.

Semuanya hanyalah asbab sahaja mengikut qadar Allah SWT.

Hakikatnya mereka semua dijemput Tuhan kerana tempoh masa yang diberikan untuk hidup di dunia telah habis – telah sampai ajalnya. Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf, ayat 34:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌۭ ۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةًۭ ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ ٣٤

Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.

Dan yang lebih meruntun jiwa, perginya seorang sahabat, seorang kakak, ibu kepada seorang teman – pemergian yang sangat mengejutkan dan ditangisi ramai orang.

Suami saya bertanya, apakah amalnya sehingga Allah SWT menjemput al-Marhumah pulang pada hari yang mulia (Jumaat) dan pada bulan yang mulia (Ramadan).

Saya tiada jawapan. Allah SWT lebih mengetahui.

Namun momen bersama Kak Umi yang lekat dalam ingatan adalah senyumannya, kemesraan dan kesungguhan beliau yang sentiasa ada dan membantu dalam program-program kebajikan dan kemasyarakatan. Beliau tidak memerlukan jawatan yang tinggi untuk menumpahkan bakti.

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa Kak Umi, melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya buat Kak Umi di alam sana. Selesailah urusan Kak Umi di dunia. Tinggal kita yang perlu terus gagahkan hati berjuang untuk melakukan amal soleh dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Kematian adalah sebesar-besar peringatan buat yang masih hidup.

Berita kematian yang sampai pada kita hari ini adalah peringatan kasih sayang Tuhan buat kita, hamba-Nya. Kerana suatu hari nanti kita juga akan menyusul mereka yang telah pergi.

Suatu hari nanti berita kematian kita pula yang akan diumumkan. Kita pula yang akan dimandikan, disolatkan dan diusung ke liang lahad.

Persoalannya – bila, di mana dan bagaimanakah kematian kita nanti.

Mungkin kita perlu mula fikirkan kematian bagaimana yang kita inginkan, pengakhiran bagaimana yang kita harapkan. Lalu kita berusaha sedaya upaya melakukan amal soleh dan ketaatan agar Allah SWT mengurniakan husnul khatimah – mudah-mudahan.

Mari kita sama-sama renungkan firman Allah SWT dalam Surah al-Mulk, ayat 2:

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ ٢

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

Hidup adalah medan ujian. Selagi mana nyawa masih dikandung badan, ruang untuk kembali kepada Allah SWT itu sentiasa terbuka luas. Bahkan luasnya rahmat Allah SWT dan kasih-sayang-Nya tidak akan pernah dapat kita bayangkan.

Jangan pernah sesekali kita berputus asa daripada rahmat-Nya. Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar, ayat 53:

 قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ ٥٣

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Antara doa yang boleh kita amalkan sebagai pengharapan kita kepada Allah SWT agar mengurniakan kita pengakhiran yang baik:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمْرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَوَاتِمَهُ، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ

Maksudnya: Wahai Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalanku sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hariku, adalah hari di mana daku berjumpa dengan-Mu kelak.

(Riwayat Ibn al-Sunni dan al-Tabarani)

Wallahu’alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *