Jurnal Kehidupan

Pelajaran Melalui Sebuah Kesedihan

Bismillah.

Dalam satu usrah yang sempat kami laksanakan beberapa hari sebelum masuk Ramadan, kami membincangkan tentang puasa dan takwa.

Perbincangan usrah tersebut berkisar bagaimana nak manfaatkan kesempatan Ramadan kali ini dan apa sebenarnya yang kita nak capai dalam bulan Ramadan.

Ada sahabat yang berkongsi, bulan Ramadan ini matlamatnya nak tinggalkan dosa. Bukan bermaksud nak tinggalkan dosa pada bulan Ramadan sahaja tetapi Ramadan menjadi satu titik tolak untuk kita istiqamah meninggalkan dosa.

Kita semua sudah maklum melalui tujuan berpuasa sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 183 iaitu tujuan berpuasa adalah agar kita menjadi hamba yang bertakwa.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Takwa secara ringkasnya bermaksud mentaati segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya.

Jadi, matlamat untuk meninggalkan dosa itu adalah matlamat yang sangat mulia. Mudah-mudahan dengan niat yang baik itu, Allah SWT membimbing kita serta memberikan kita kekuatan untuk istiqamah meninggalkan dosa.

Persoalannya, dosa apa yang mahu kita tinggalkan?

Ya, sudah pastilah kalau boleh kita nak tinggalkan semua dosa. Cuma jika kita hanya menyebut dosa secara umum, tanpa memperincikan dosa apa yang kita hendak tinggalkan, matlamat tersebut terasa kabur dan kita gagal melaksanakan mujahadah untuk meninggalkan dosa tersebut.

Sahabat yang menyebut matlamatnya untuk meninggalkan dosa tersebut, mengkhususkan dosa yang hendak ditinggalkan itu adalah dosa mengumpat. Jelas bukan?

Apabila jelas matlamat dosa yang hendak ditinggalkan itu, maka lebih cerah dan nampak jalan untuk kita meninggalkannya.

Ceritanya, lebih kurang seminggu selepas usrah, saya diuji dengan rasa tersinggung dan berkecil hati dengan perkataan beberapa orang kenalan. Perempuan kan, kadang-kadang hal kecil sahaja tetapi lukanya boleh menyakitkan.

Kebiasaannya, apabila terluka kita akan terfikirkan seseorang atau mencari seseorang untuk kita meluahkan rasa kecewa dan sedih tadi. Rasa puas kalau dapat menghamburkan segala perasaan kepada orang yang kita percaya.

Namun, kali ini Allah SWT mendidik secara tidak langsung melalui ujian bernama kesedihan.

Saya berfikir, jika saya meluahkan kesedihan kepada seseorang, sudah pasti saya akan bercerita tentang siapakah orang yang berkata sesuatu yang melukakan hati saya dan apakah yang dikatanya. Saya tertanya-tanya, adakah perbuatan itu dikira mengumpat?

Lalu saya mencapai telefon, membuat carian di Google searchmengumpat yang dibenarkan‘. Ternyata, meluahkan kesedihan semata-mata tidak termasuk dalam kategori mengumpat yang dibenarkan.

Maka apa jalan yang ada untuk kita melepaskan kesedihan yang disebabkan oleh manusia yang lain?

Kadang-kadang kita hampir terlupa bahawa kita ada Allah SWT yang Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui dan Dia sentiasa ada dan dekat dengan hamba yang mencari-Nya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah juga, ayat 186 iaitu selepas ayat tentang berpuasa:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا۟ لِى وَلْيُؤْمِنُوا۟ بِى لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ ١٨٦

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Manusia tidak selalu ada di samping kita. Dan boleh jadi dia juga tidak mampu memahami kesedihan yang kita lalui. Bahkan mereka tidak ada upaya sedikit pun untuk menghilangkan kesedihan kita.

Sedangkan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Dia Yang Maha Berkuasa akan segala sesuatu – sudah tentulah kepada Dia sebaik-baik tempat untuk kita menyandarkan segala kesedihan dan kekecewaan.

Saya memikirkan, ia adalah satu latihan sebenarnya untuk kita agar apa jua yang berlaku dalam kehidupan, kita cari Allah SWT dahulu.

Fikir Allah dahulu, berserah segalanya kepada Tuhan Yang Maha Hidup. Kerana hanya Dia-lah yang mampu menghilangkan segala kesedihan, bahkan memberikan kita jalan keluar dalam setiap kesempitan.

Dengan meluahkan segalanya kepada Allah SWT – sama ada dalam doa yang kita panjatkan, atau dalam sujud yang kita panjangkan – insya-Allah pasti Dia akan mengurniakan ketenangan hati. Kita pun selamat daripada terjatuh ke dalam dosa mengumpat.

Baru-baru ini, saya mendengar kuliah Asmaul Husna yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Muein dengan tajuk Allah Maha Dekat.

Sungguh, hati seorang hamba yang sentiasa menyakini bahawa Allah sangat dekat dengan hamba-Nya akan sentiasa menjadikan Allah SWT sebagai tempat mengadu, tempat menyatakan hajat dan tempat bergantung.

Begitulah, sekadar mencatat pelajaran hidup yang Allah SWT berikan. Mudah-mudahan menjadi prinsip yang kekal dalam diri dan menjadi peringatan pada masa akan datang – ketika terlupa.

Wallahu’alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *