Berkahwin Kerana Apa?
Bismillah.
Dalam satu podcast Natasya Ozeir bersama Nora Danish dan Neelofa, Nora menyebut:
“Bila kita kahwin kerana cinta, cinta itu yang akan melukakan anda. Kalau kita kahwin kerana Allah, walaupun cliche bunyi dia kan, orang kata sebelum ni Nora kahwin kerana Allah, baru Nora faham apabila kita kahwin kerana Allah jalan menuju Allah tu akan indah, kalau kahwin kerana cinta, cinta kepada manusia itu takkan kekal.
Benar kata Nora, frasa ‘berkahwin kerana Allah’ atau ‘bercinta kerana Allah’ kedengaran agak cliche sehingga kadang-kadang kita gagal memahami makna sebenar apabila dikatakan berkahwin kerana Allah SWT.
Apabila kita menyebutkan ‘kerana Allah’ bermakna kita telah menetapkan dalam hati apa yang kita lakukan itu adalah semata-mata kerana Allah SWT.
Jika dapat kita huraikan lagi ‘kerana Allah’ itu, ia membawa kepada maksud untuk mendapat reda Allah SWT dan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah dan larangan-Nya.
Maka, sebuah rumah tangga yang dibina kerana Allah SWT seharusnya menjadi jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mendapat reda-Nya.
Di sini, dapatlah kita bermuhasabah – adakah perkahwinan ini menjadi jalan kita semakin dekat dengan Allah SWT?
Dalam sebuah hadis, Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ دِينِهِ؛ فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي
Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki.
Riwayat al-Baihaqi (5486), al-Tabarani dalam Mu’jam al-Awsat (7647)
Agama – sebahagian disempurnakan dengan berkahwin, sebahagian lagi dengan bertakwa kepada Allah SWT.
Secara literalnya, dapat kita fahami bahawa maksud menyempurnakan sebahagian agama adalah keutamaan tuntutan perkahwinan dalam Islam. Begitu besarnya peranan sebuah perkahwinan dalam kehidupan beragama seorang hamba.
Namun, perlu kita persoalkan pula, perkahwinan bagaimana yang dimaksudkan menyempurnakan sebahagian agama?
Sudah tentulah perkahwinan yang dilaksanakan semata-mata mengharap reda Allah SWT.
Niat menjadi dasar penting yang akan memandu segala perkataan dan perbuatan dalam apa sahaja yang kita lakukan. Niat juga menjadi asas yang menentukan cara kita menilai dan menanggapi sesuatu ujian atau nikmat yang datang dalam kehidupan kita.
Maka, marilah sama-sama kita meneliti dan memurnikan niat untuk menempuh alam rumah tangga. Jika telah menempuh alam rumah tangga – berapa lama pun tempohnya – masih ada kesempatan untuk membetulkan layar bahtera.
Agar bahtera rumah tangga itu sampai ke destinasi yang kita harapkan iaitu reda Allah SWT.
Apabila segalanya telah dilakukan kerana Allah SWT – hanya semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, maka hati akan menjadi lebih tenang ketika menghadapi apa jua badai yang datang.
Setiap perkahwinan pasti akan diuji dan ujian itu pasti berbeza antara kita. Ujian ditentukan menurut kebijaksanaan Allah SWT dan sudah tentu mengikut kemampuan hamba-Nya.
Sebagai orang beriman, meyakini bahawa setiap qadar Allah itu baik adalah sebahagian daripada pelaksanaan rukun Iman. Hati yang sentiasa berpaut kepada Allah SWT, akan mampu melihat musibah sebagai sebuah nikmat daripada Allah SWT.
Musibah menjadi nikmat apabila ia menjadi jalan untuk kita lebih dekat dengan Allah SWT.
Usah sesekali berkahwin kerana mengharapkan cinta manusia kerana hakikatnya manusia adalah seorang hamba yang lemah dan banyak kekurangan.
Tempuhilah alam perkahwinan ini dengan bersama-sama memperbaiki diri, saling menasihati dan saling mengingatkan untuk melalui jalan-jalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti beribadah, berzikir dan mempelajari Al-Quran.
Saya masih ingat pesanan ibu mertua suatu ketika dahulu sebelum mendirikan rumah tangga.
“Ummi Abi dulu berkahwin sebab nak pahala ibadah berganda”
Mulanya saya kurang mengerti bagaimana dengan berkahwin, kita boleh mendapat pahala ibadah berganda.
Setelah mendirikan rumah tangga, barulah saya mengerti. Berkahwin menjadi jalan untuk menjana banyak pahala apabila kita dan pasangan bersama-sama memperbaiki diri, meningkatkan ibadah dan saling mengingatkan untuk tetap istiqamah dalam ketaatan kepada Allah SWT.
Apabila dikurniakan zuriat keturunan pula, bertambah lagi peluang untuk menjana pahala yang tidak akan putus meskipun setelah kita meninggal dunia.
Mendidik anak-anak dengan iman, dengan Al-Quran dan dengan akhlak yang baik lalu anak-anak menjadi hamba yang soleh dan mentaati Allah SWT.
Bukankah anak soleh itu adalah pusaka yang mengalirkan pahala berterusan setelah roh kita berpisah daripada jasad?
Pandanglah perkahwinan ini dengan wawasan akhirat, bukan semata-mata keindahan dan kenikmatan di dunia. Semoga Allah SWT membimbing kita untuk tetap dan teguh atas jalan kebenaran yang menyampaikan kita ke destinasi yang sangat dihajati, syurga dan reda-Nya.
Penulisan sederhana ini sekadar berpesan kepada diri sendiri dan juga sebagai muhasabah untuk memperbaiki diri dan keluarga. Mudah-mudahan ada sedikit manfaat buat sahabat pembaca.
Saya mohon maaf atas kelemahan dan keterlanjuran kata.
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ٥
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Surah Al-Fatihah, ayat 5)