Resensi Buku

Sisi Berakhlak Yang Hilang

Bismillah.

Mengapa sebenarnya seseorang gagal mencapai apa yang diinginkan dalam hidup? Walhal cita-cita sudah jelas, azam sudah sempurna, dan semangat juga sudah melangit. Rupa-rupanya yang hilang daripada kita adalah sikap. Ia merupakan sains dan sunnatullah di sebalik mana-mana kejayaan.

Petikan di atas adalah blurb buku Sisi Berakhlak Yang Hilang. Buku ini merupakan salah satu buku siri ‘Yang Hilang’ tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang diterbitkan oleh Iman Publication. Dua buku lagi dalam siri ini adalah:

  1. Erti Beragama Yang Hilang
  2. Seni Berfikir Yang Hilang

Buku Sisi Berakhlak Yang Hilang yang mengandungi 198 muka surat ini merupakan inspirasi daripada buku Steven R. Covey yang bertajuk The Seven Habits Of Highly Effective People. Namun, ia disadur dengan ilmu dan perspektif Islam agar aplikasinya lebih dekat dengan kehidupan seorang muslim.

Saya pernah membaca buku The Seven Habits Of Highly Effective People suatu ketika dahulu dan satu-satunya habit yang lekat dalam ingatan saya adalah habit pertama iaitu Begin With The End In Mind. Dalam bab ini, Steven R. Covey meminta pembaca membayangkan kita sedang berada di sebuah majlis pengebumian dan yang akan dikebumikan itu adalah diri kita.

Dalam budaya (saya kurang pasti adat atau agama) orang kristian, ketika di majlis pengebumian, ahli keluarga dan rakan terdekat akan diberikan peluang untuk berucap tentang si mati.

Sudah pasti kita sebagai si mati ingin agar hanya hal-hal yang baik sahaja tentang diri kita yang diceritakan oleh waris yang kita tinggalkan. Dan inilah permulaan untuk kita memperbaiki diri dan melakukan kebaikan kepada orang sekeliling agar setelah kita mati nanti, orang akan bercakap hal yang baik sahaja tentang diri kita.

Begitulah sekadar yang saya ingat daripada bacaan beberapa tahun yang lalu.

Habit pertama dalam buku yang ditulis oleh orang bukan Islam ini sebenarnya sangat dekat dengan diri kita sebagai seorang muslim yang meyakini bahawa ada kehidupan yang lain selepas mati. Yang mana kehidupan abadi itu nanti setiap manusia akan diberikan pembalasan berdasarkan iman dan amal kita di dunia – sama ada balasan yang baik dan indah atau sebaliknya.

Cuma apa yang perlu kita betulkan adalah, kebaikan yang dilakukan di dunia ini bukan bertujuan agar orang yang kita tinggalkan berfikir dan bercakap-cakap tentang kebaikan kita. Tetapi setiap amal yang dilakukan mestilah hanya mengharapkan reda Allah SWT semata-mata. Ada garis halus yang perlu kita perhatikan agar amal yang baik itu tidak terhapus lantaran dilakukan dengan niat selain kerana Allah SWT.

Dalam buku Sisi Berakhlak Yang Hilang, Ustaz Hasrizal menerangkan 7 tabiat yang sama cuma dalam susunan yang sedikit berbeza.

  1. Proaktif
  2. Mula dengan gambaran akhir (begin with the end in mind)
  3. Meletakkan prioriti
  4. Menang sama-sama
  5. Memahami sebelum difahami
  6. Sinergi
  7. Asah gergaji (sharpen the saw)

Sebelum membahaskan setiap tabiat di atas, Ustaz Hasrizal mengajak kita sama-sama membetulkan sisi pandang atau paradigma kita tentang akhlak dalam Islam. Bahagian yang menarik bagi saya adalah apabila Ustaz menerangkan bahawa akhlak sebenarnya adalah output atau hasil dalam beragama.

Manakala inputnya adalah keimanan dan proses yang menghasilkan akhlak itu adalah ibadah. Makna kata, kita menilai agama seseorang atau diri kita sendiri bukan pada prosesnya (ibadah) tapi pada hasil iaitu akhlaknya.

Namun perlu juga kita fahami bahawa akhlak tidak terbatas kepada hubungan antara manusia sahaja. Kerana jika begitu, maka orang yang tidak menunaikan solat tetapi sangat sopan santun akhlaknya dengan orang sekeliling akan dianggap sebagai orang beragama. Islam tidak begitu. Kerana konsep akhlak adalah mesti menepati syariat Allah SWT.

Dalam hadis Jibril, kita diberikan pemahaman tentang Islam, Iman dan Ihsan. Ihsan inilah yang merangkumi soal akhlak tadi. Ustaz Hasrizal membahagikan ihsan kepada 3 bahagian:

  1. Takwa – ihsan dengan Allah SWT
  2. Akhlak – hubungan sesama manusia
  3. Itqan – akhlak dalam bekerja

Orang yang beramal dengan Islam – akidahnya Islam – di hujungnya semua terbaik. Dengan Allah SWT pun terbaik; dengan manusia pun terbaik; dengan kerjanya pun terbaik.

Sekadar itulah penutup untuk resensi buku hari ini. Saya sarankan sahabat pembaca memilih buku ini sebagai bahan bacaan untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan 7 tabiat yang disenaraikan di atas. Aplikasinya sesuai dengan setiap individu muslim, dalam kehidupan berkeluarga, rumah tangga dan juga untuk sesebuah organisasi.

Semoga ada sedikit manfaat daripada penulisan ini. Selamat membaca!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *