Jurnal Kehidupan

Nikmat Belajar

Bismillah.

Antara ‘alasan’ saya ketika membuat keputusan untuk berhenti kerja pada dua tahun yang lalu adalah supaya saya ada masa yang lebih fleksibel untuk belajar agama. Ketika itu, saya betul-betul tidak pasti bahagian ilmu agama mana yang saya nak belajar dan persoalan yang lebih penting adalah – di mana saya nak belajar?

Setahun kemudian, Allah SWT melorongkan niat dan keinginan belajar agama tadi untuk menyertai kelas Asas Pengajian Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam. Alhamdulillah, setahun sudah Allah SWT mengizinkan saya menghadiri kelas ini walaupun sesekali ada ujiannya kerana terpaksa membawa Aisyah sekali ke kelas tersebut. Mudah-mudahan menjadi asbab Aisyah menjadi seorang yang berilmu dan faqih dalam agama.

Sebenarnya banyak ujiannya apabila kita belajar agama. Ilmu itu sendiri telah menjadi ujian buat seorang hamba – ujian beramal dan ujian untuk menyampaikan. Ilmu yang Allah SWT anugerahkan kepada seorang hamba datang bersama tanggungjawab. Tanggungjawab untuk beramal dengan ilmu dan tanggungjawab untuk menyampaikan.

Pernah satu masa timbul satu ketakutan yang bersangatan dalam hati. Takut sekiranya masa yang telah saya luangkan untuk belajar ini menjadi satu perkara yang sia-sia. Takut kerana banyaknya ilmu yang belum diamalkan, apatah lagi disampaikan. Sehingga timbul perasaan ragu-ragu – betulkah apa yang sedang aku buat ini Ya Allah?

“Aku hanya ingin mendekati-Mu dengan mempelajari agama. Aku hanya ingin membersihkan jiwaku Ya Allah. Aku ingin menambahbaik kehidupanku dan keluargaku dalam beragama”

Begitulah saya bermonolog setiap kali dalam perjalanan menuju ke masjid.

Yang dapat meredakan ketakutan itu adalah apabila kita menyerahkan sepenuhnya segala urusan kehidupan kita kepada Allah SWT agar kita dibimbing dan sentiasa diberikan rahmat. Saya mengulang-ulang doa yang dibacakan oleh para pemuda kahfi dalam Surah Al-Kahfi, ayat 10:

رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةًۭ وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًۭا

“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”. 

Kini saya merasakan, sepanjangan 33 tahun kehidupan yang Allah SWT pinjamkan kepada saya, belajar agama adalah nikmat yang paling besar. Sungguh! Perasaannya berbeza apabila kita belajar untuk kenal Allah SWT, untuk memperbaiki diri dan untuk beramal – bukan untuk menghadapi peperiksaaan semata-mata seperti di sekolah dahulu. Maha Suci Allah.

Secebis pengalaman hidup yang saya lalui, setiap kebaikan yang kita perolehi adalah bermula dengan niat yang baik. Mungkin pada awalnya kita merasakan untuk kembali menuntut ilmu itu sesuatu yang mustahil untuk dilakukan apatah lagi dengan kekangan masa, kewangan dan pelbagai tanggungjawab yang lain.

Tetapi yakinlah, dengan niat yang baik dan doa yang tidak putus, Allah SWT akan tunjukkan jalan sedikit demi sedikit sehingga kita dapat menikmati pelbagai keindahan dalam perjalanan menuntut ilmu.

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

“Segala puji bagi Allah, dengan kenikmatan dari-Nya menjadi sempurna semua amal kebaikan.”

Sesungguhnya kita hanyalah hamba yang faqir – tidak memiliki sesuatu apa pun, melainkan semuanya adalah pinjaman daripada Allah SWT sebagai satu ujian.

Ujian adakah kita menjadi hamba yang bersyukur atau sebaliknya.

Wallahu’alam.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *