Tentang Aisyah

Allah Maha Mendengar

Bismillah.

“Aisyah, jom makan lepastu mandi dan siap-siap, nanti Cik Sarah datang ambil, kita nak pergi rumah kawan mama.”

“Okay mama.”

Aisyah menutup laptop dan terus ke meja makan. Ketika saya sedang menikmati sup ayam yang terasa lebih sedap daripada biasa, Aisyah tiba-tiba melontarkan persoalan.

“Mama, ramainya kawan mama dapat baby. Kita je tak ada baby lagi. Ke ada baby dalam perut mama?”

Terkedu sekejap mendengar soalan Aisyah.

Saya tersenyum sambil otak ligat memikirkan jawapan yang sesuai buat Aisyah.

Aisyah seolah dah faham, kalau mama ajak pergi rumah kawan, mesti sebab nak ziarah baby. Dalam tempoh 2 tahun kebelakangan ini memang saya banyak menziarahi kawan-kawan yang baru melahirkan. Dah lebih 10 kali agaknya. Aisyah pun dah terbiasa sehingga dia merasa pelik kenapa kawan-kawan sebayanya dah ada adik sedangkan Aisyah belum.

“Aisyah doalah minta Allah rezekikan kita baby, nanti Aisyah ada kawan main kat rumah.”

Saya menjawab lembut.

Teringat satu posting di instagram. Tidak pasti siapa yang menulis. Maksudnya lebih kurang begini;

“Antara waktu mustajab berdoa adalah berdoa ketika melihat nikmat yang dikurniakan Allah kepada orang lain. Nabi Ibrahim berdoa agar dikurniakan cahaya mata adalah ketika melihat nikmat makanan yang Allah SWT berikan kepada Maryam di mihrabnya, tempat beliau beribadat. Beliau berdoa dengan penuh keyakinan dan pengharapan meskipun usianya telah lanjut dan isterinya pula tidak dapat mengandung.”

Sebelum ini, saya membacakan doa buat bayi yang baru lahir dengan doa yang dibacakan oleh Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas iaitu:

اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ

“Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya takwil (ilmu tafsir Al-Quran)”

Kini saya tambah lagi satu doa untuk diri sendiri dan sudah tentunya untuk Aisyah juga dengan doa

رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ

“Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa.” (QS Ali Imran Ayat 38)

Sungguh, Engkau Tuhan Yang Maha Mendengar.

Meyakini bahawa Allah itu Maha Mendengar doa hambanya sudah cukup memberikan ketenangan hati dan jiwa. Terserahlah pada Allah untuk memakbulkan dengan apa jua cara menurut kebijaksanaan-Nya.

Cukuplah Allah bagi kami. Apa sahaja takdirmu adalah baik bagi kami.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *