Jurnal Kehidupan

Sebuah Perjalanan

Bismillah.

وَمَا هَـٰذِهِ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا لَهْوٌۭ وَلَعِبٌۭ ۚ وَإِنَّ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ لَهِىَ ٱلْحَيَوَانُ ۚ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ

“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” – Surah Al-Ankabut, ayat 69

Masa terus berlalu sepantas kerdipan mata. Terasa baru sahaja duduk bermuhasabah memasang azam baharu 2024, tiba-tiba tinggal lagi kurang 3 bulan untuk sampai ke hujung tahun. Dan kita masih tetap di sini dalam permusafiran yang entah bila akan sampai kepada penghujungnya. Jatuh dan bangun, sedih dan tawa yang silih berganti menjadi episod kehidupan yang setia menemani perjalanan ini.

Pernahkah kita berfikir sejenak dan merenung ketika kaki kita laju melangkah atau ketika pedal minyak ditekan lalu kereta kita meluncur laju untuk menuju ke suatu tempat — ke manakah hakikat yang sebenarnya destinasi akhir perjalanan kita?

Mungkin kerana kesibukan kita mengurus dunia, kita terlupa hala tuju kehidupan yang sebenar. Lupa bahawa dunia hanyalah persinggahan sebelum menempuh kehidupan hakiki di akhirat nanti.

Hampir tidak kita sedari bahawa setiap langkah kaki kita itu hakikatnya membawa kita semakin hampir dengan kematian. Kematian yang akan memisahkan kita daripada dunia buat selama-lamanya. Tiada lagi peluang untuk mengumpul bekal amal soleh buat menempuh perjalanan akhirat yang jauh lebih panjang dan menakutkan.

Perjalanan sentiasa menjadi ruang untuk saya bermuhasabah tentang kehidupan. Sehinggakan kebelakangan ini, memandu kereta dalam jarak yang sedikit jauh menjadi satu ruang untuk saya ‘me time‘ atau ‘healing time‘. Apatah lagi ketika memandu di jalan yang lurus dan lengang; sambil mata puas menatap langit yang luas terbentang, hati dan akal saling bermonolog dengan satu persoalan.

“Adakah perjalanan ini membawa aku semakin dekat dengan Tuhan?”

Persoalan ini tiada jawapan yang pasti kerana sifat hati yang sentiasa berbolak-balik dan fitrah iman yang naik dan turun. Seringkali saya sendiri merasa ragu-ragu, adakah perjalanan ini kerana Tuhan atau sekadar memenuhi jadual kehidupan seorang manusia yang punya pelbagai tanggungjawab.

Lalu akhirnya persoalan itu ditutup dengan doa seorang hamba yang pasrah dan berserah.

وَأُفَوِّضُ أَمْرِىٓ إِلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَصِيرٌۢ بِٱلْعِبَادِ

“dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya”. – Surah Al-Ghafir, ayat 44

Tuhan, aku sendiri tidak pasti adakah perjalanan aku ini membawa aku semakin dekat kepada-Mu atau semakin jauh. Atau mungkinkah perjalanan ini tidak membawa aku ke mana-mana, hanya statik di tempat yang lama tanpa bertambah pahala kebaikan.

Lalu, aku sandarkan segala urusan kehidupanku ini kepada-Mu, lorongkanlah aku pada jalan-jalan yang mendekatkan diriku kepada-Mu, jalan yang menambah takwa dan tawakalku kepada-Mu, dan jalan yang membersihkan jiwaku daripada kekotoran dosa dan hawa nafsu.

Sungguh, aku hanya hamba yang tidak berdaya sedikit pun tanpa kekuatan dan pertolongan daripada-Mu.

حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ

“Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”. – Surah Ali Imran, ayat 173

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *