Kemanisan Ukhuwah
Bismillah.
Sejak keluar daripada zaman kampus hampir 10 tahun yang lalu, ini adalah tamrin kedua saya hadir. Walaupun hadir sebagai urusetia pelaksana, namun saya datang dengan mindset sebagai peserta. Sehari sebelum lagi saya pasakkan niat agar tamrin ini Allah SWT jadikan sebagai satu jalan untuk lebih dekat dengan-Nya, sebagai jalan untuk menambah ketakwaan dan tazkiyatun nafs (penyucian jiwa).
- Pelajaran pertama: Tawadhu’
Memegang taklifan sebagai Unit Kerohanian, tugasnya sangat mudah. Antaranya adalah melantik imam solat yang akan bertugas sepanjang tamrin. Pada awalnya saya menyangka susah untuk mendapatkan nama peserta yang boleh menjadi imam solat kerana apabila saya meletakkan diri saya sebegai peserta, saya pasti akan menolak taklifan sebagai imam.
Sebaliknya, dengan pertolongan Allah SWT, mudah dan cepat saya dapat penuhkan jadual imam solat, pembimbing munajat dan penyampai tazkirah. Dalam hati, saya mengagumi para peserta yang tidak berat hati menggalas amanah sebagai imam.
Imam adalah lambang kepimpinan. Saya pasti, mereka yang sudi menjadi imam ini, pasti hebat kepimpinannya di kawasan. Itulah pelajaran pertama saya dalam tamrin kali ini. Ia memupuk sifat tawadhu’ dan rendah diri dalam hati, sekaligus menyingkirkan zarah-zarah kesombongan yang cuba mengisi ruang hati.
- Pelajaran kedua: hormat kepada sahabat seperjuangan
Sepanjang tamrin, saya kagum dan memandang tinggi urusetia pelaksana yang lain khususnya yang terdiri daripada AJK Briged Muslimat Selangor dan juga peserta daripada kawasan-kawasan yang sangat kemas pertuturannya, bahkan mereka bercakap dengan ilmu pengetahuan yang luas tentang jamaah. Ia memberi saya satu galakan untuk kembali membelek buku-buku haraki seperti Rukun Baiah, Amal Jamaie dan Risalah Ta’lim.
Saya merasa kerdil sungguh sepanjang tamrin namun saya suka perasaan begini.
Apabila kita kurang bergaul dengan orang ramai daripada latar belakang yang berbeza, kadang-kala kita merasakan diri kita ini baik, hebat dan banyak kelebihan. Kita jadi syok sendiri, lalu kita terlupa dan leka untuk memperbaiki diri dan amal. Jadi, apabila bertemu dan bergaul dengan urusetia dan peserta dari kawasan-kawasan lain yang nyata karisma kepimpinannya, saya merasa sangat rendah hati. Ia melahirkan rasa hormat dan sayang kepada sahabat-sahabat seperjuangan. Alhamdulillah.
- Pelajaran ketiga: berlapang dada dengan sahabat
Dalam melaksanakan gerak kerja jamaah, kita akan berhadapan dengan pelbagai ragam manusia. Ada sahabat yang kita suka dekati, ada sahabat yang kita biasa-biasa sahaja, ada sahabat yang kita cuba mengelak. Mungkin kerana berlakunya perselisihan, kita merasa jauh hati dan cuba menjauhkan diri. Ketika inilah kita diuji dengan serendah-rendah tahap berukhuwah – iaitu berlapang dada.
Pesan Ustazah Wan Hasrina, dalam jamaah ni jangan ada sikap merajuk.
Terasa hati itu perkara biasa, kita manusia bukannya robot yang tiada perasaan. Tetapi tidak perlulah rasa rajuk itu disimpan sehingga basi dan busuk. Bukankah keadaan itu akan mengganggu pelbagai urusan gerak kerja dalam jamaah?
Maka, berlapang dadalah kerana Allah SWT.
Setiap daripada kita ada peranan di posisi masing-masing. Ada sebab Allah SWT meletakkan kita di sesuatu tempat, dan ada sebab Allah SWT tidak meletakkan kita di sesuatu tempat. Apa sebabnya?
Renunglah sehingga kita merasakan hikmahnya. Jika tidak dapat merasai, cukuplah kita meyakini bahawa setiap qadar Allah itu adalah baik. Maha Suci Allah daripada menzalimi hamba-Nya yang beriman.
Begitulah. Sekadar catatan kenangan bertamrin yang boleh diimbau suatu hari nanti.
Alhamdulillah, antara kemanisan bertamrin kali ini adalah – ukhuwah. Terima kasih buat semua sahabat yang hadir dalam hidup saya 🙂
Semoga Allah SWT tautkan hati kita semua dengan kasih sayang yang teguh, saling menghormati dan sentiasa berlapang dada. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua hati yang ikhlas dan istiqamah dalam perjuangan sehingga ke akhir hayat.