Jurnal Kehidupan

Pesan Editor

Bismillah.

Petang tadi Tuan Azmi Yusof membuat panggilan untuk menerangkan serta memberikan tunjuk ajar berkaitan penulisan berita. Berdebar juga nak angkat panggilan itu memandangkan ini kali pertama saya berurusan dengan Tuan Azmi.

Saya bayangkan beliau seorang yang tegas dan serius memandangkan Kak Faizah pernah menyebut bahawa Tuan Azmi garang orangnya dan nak belajar dengan beliau kena besar hati.

Ternyata bayangan itu meleset.

Tuturnya persis seorang guru yang sedang mendidik anak muridnya dengan ikhlas dan penuh kesungguhan. Saya jadi terharu kerana diri ini bukanlah siapa-siapa, hanya ahli biasa yang saja ingin mencuba mengasah kemahiran menulis berita.

Sebelum meletakkan panggilan, sempat beliau berpesan; “istiqamah ya!”

Satu perkataan yang ringkas sahaja malah perkataan yang biasa lalu di telinga, namun sungguh membekas pada hati. Rasa terharu dan sebak. Nasihat yang ringkas itu sangat bermakna pada saya.

Kerana bukan mudah untuk istiqamah dalam kebaikan. Istiqamah perlu kepada hati yang ikhlas semata-mata mengharap reda Allah SWT dan kuat mujahadah melawan hawa nafsu serta kelemahan diri.

Begitulah hikmah pemberian Allah SWT untuk episod kehidupan hari ini. Nasihat yang datang daripada manusia, hakikatnya adalah peringatan daripada Allah SWT.

Setiap susunan takdir Allah SWT dalam kehidupan ini – jika dipandang dengan kaca mata keimanan, kita akan melihat bahawa Allah SWT sedang mentarbiyah diri untuk menjadi hamba yang lebih baik dan Allah SWT memberi teguran agar kita memperbetul kesalahan yang telah dilakukan.

Yakinlah, bahawa tidak ada yang sia-sia dalam apa jua ketentuan Allah SWT dalam kehidupan seorang hamba meskipun kita merasa tidak suka dengan perkara itu.

Satukan akal dan hati untuk merenung setiap ketentuannya sehingga kita beroleh hikmah yang melapangkan dada. Hikmah itu sama ada kita boleh lihat dengan mata atau kita boleh merasakannya dalam hati.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 191:

ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًۭا وَقُعُودًۭا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَـٰطِلًۭا سُبْحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ 

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *