Buah Tangan Dari Kedah
Bismillah.
Alhamdulillah, buah tangan yang paling bermakna disampaikan oleh Ustazah Siti Mekiah, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah sebagai bekal perjuangan. Mudah-mudahan catatan ringkas ini memberi manfaat kepada semua yang membaca.
1. Apabila kita diminta untuk berkongsi apa sahaja ilmu atau kemahiran, kita kena kongsi kerana Allah SWT akan tanya tentang ilmu yang kita ada. Ilmu yang Allah SWT kurniakan bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi juga untuk dikongsi kepada orang lain. Apabila berkongsi ilmu, Allah SWT akan tambahkan lagi ilmu dan kukuhkan ilmu yang sedia ada.
2. Tadabbur Surah An-Nisa, ayat 95.
لَّا يَسْتَوِى ٱلْقَـٰعِدُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُو۟لِى ٱلضَّرَرِ وَٱلْمُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ ۚ فَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلْمُجَـٰهِدِينَ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ عَلَى ٱلْقَـٰعِدِينَ دَرَجَةًۭ ۚ وَكُلًّۭا وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلْحُسْنَىٰ ۚ وَفَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلْمُجَـٰهِدِينَ عَلَى ٱلْقَـٰعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًۭا
Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar;
- Berjihad di jalan Allah SWT bukan perlu tunggu masa lapang, tetapi kita yang kena lapangkan masa untuk perjuangan. Moga Allah SWT akan lapangkan pula urusan kita di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
- Tidak berjihad di jalan Allah SWT adalah satu kerugian. Bertambah rugi apabila orang yang tidak berjihad tidak juga mengeluarkan infak di jalan Allah SWT.
- Dalam ayat ini Allah SWT menyebutkan orang yang berjihad dengan harta dan jiwa. Allah SWT menyebut harta dahulu kerana kebiasaannya manusia berkerja keras untuk mengumpul harta sehingga mengabaikan kesihatan tubuh badan.
- Berkhidmat dalam jemaah adalah satu nikmat, rahmat dan keberkatan yang Allah SWT berikan. Syukur alhamdulillah Allah SWT memilih kita.
- Kelebihan orang yang berjihad iaitu Allah SWT lebihkan satu darjat dan diganjarkan pahala yang besar.
3. Kepimpinan adalah taklif (tanggungjawab) bukan tasyrif (kemuliaan). Jangan rasa mulia dengan taklifan.
4. Kepimpinan adalah peluang untuk menyumbang idea, tenaga, masa, ilmu, dan harta serta peluang berbakti kepada masyarakat.
“Barangsiapa memberikan pertolongan pada hajat saudaranya, maka Allah selalu memberikan pertolongan pada hajat orang itu. Dan barangsiapa melapangkan kepada seorang Muslim akan satu kesusahannya, maka Allah akan melapangkan untuknya satu kesusahan dari sekian banyak kesusahan pada hari kiamat. Dan barangsiapa yang menutupi cela seorang Muslim maka Allah akan menutupi celanya pada hari kiamat.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
5. Pegang prinsip untuk utamakan jaga parti daripada jaga hati rakan. Lantik orang yang betul boleh melaksanakan amanah, bukan lantik seseorang hanya sebab ingin menjaga hati. Melantik seseorang bukan sahaja melalui perbincangan, yang lebih penting minta Allah SWT cenderungkan hati kita kepada pilihan yang tepat.
6. Kepimpinan sangat perlu kepada ukhuwah yang mantap. Tiga cara rapatkan ukhuwah menurut Saidina Umar – musafir, makan bersama, bermalam bersama.
7. Apabila menjadi pemimpin, Allah SWT sebenarnya bagi peluang untuk kita memperbaiki diri sedikit demi sedikit.
8. Pesan Ulama’, jangan tinggal 4 perkara ini setiap hari.
- Bersyukur kepada Allah SWT
- Jangan tinggal zikir sehingga kita rasa rindu kepada Allah SWT
- Mesti sentiasa berdoa
- Banyakkan bertaubat dan beristighfar sekurang-kurangnya 100x sehari
9. Jangan tinggal 4 doa ini setiap hari:
- اللهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ وَعَلى طَاعَتِكَ
- اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
- رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوْبَنَا بَعْدَ اِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَّدُنْكَ رَحْمَةً ۚاِنَّكَ اَنْتَ الْوَهَّابُ
- اللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
10. Tiga amalan untuk kekal istiqamah – istiqamah hati, istiqamah lidah, istiqamah perbuatan.
Istiqamah hati – mentauhidkan Allah SWT, istiqamah dengan iman dan islam.
Istiqamah lidah – bercakap benar walaupun pahit, jangan harapkan reda manusia, harapkan reda Allah SWT semata-mata.
Istiqamah perbuatan – itqan, buat sesuatu dengan tekun dan sempurna bukan seperti melepaskan batuk di tangga. Apabila kita melakukan kerja dengan tekun, Allah SWT akan kasih kepada kita dan kerja yang dilakukan dengan sempurna juga akan memudahkan urusan kita di kemudian hari.
11. Tips untuk kekal istiqamah:
- Mula dengan sedikit mengikut kemampuan
- Pilih sahabat yang baik
- Sentiasa bermuhasabah
- Perbanyakkan berdoa dan merayu kepada Allah SWT
12. Surah Al-Hasyr, ayat 18.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.
13. Petua agar suami mudah beri keizinan buat kerja jemaah:
- Jaga makan
- Jaga pakaian
- Jaga tempat tidur
- Hantar dan sambut suami di depan pintu
14. Dua perkara yang baik bagi seorang mukmin – syukur dan sabar
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang Mukmin. Semua urusannya adalah baik. Hal ini tidak didapati kecuali pada diri seorang Mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, dia bersyukur. Maka itu adalah baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan pula, dia bersabar. Maka itu pun baik baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)