Jurnal Al-Quran Jurnal Kehidupan

Tuhan Yang Maha Menguruskan

Bismillah.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْإِنسَـٰنُ إِنَّكَ كَادِحٌ إِلَىٰ رَبِّكَ كَدْحًۭا فَمُلَـٰقِيهِ

Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya). – Surah Al-Insyiqaq, ayat 6

 

Masa yang semakin singkat dan pantas berlalu membuatkan kita rasa panik dan resah. Terlalu banyak tugasan dan kerja yang perlu diselesaikan, sedangkan masa yang ada begitu terbatas. Dan di sebalik ‘to do list’ yang nampaknya tidak pernah habis, kita ada keinginan untuk melakukan sesuatu hal yang kita suka – berjalan di shopping mall, membaca buku, melancong dan pelbagai lagi aktiviti yang mengeluarkan kita daripada rutin harian.

Sungguh menguruskan kehidupan ini sangat memenatkan. Belum lagi dengan pelbagai ujian dan mehnah yang datang dan pergi. Bukan sahaja jasad yang penat tetapi akal dan emosi juga keletihan. Jika tiada kekuatan spiritual yang menjadi tongkat barangkali telah lama kita jatuh pada satu lembah yang sukar untuk kita bangkit kembali.

Itu baru keletihan menguruskan hal dunia.

Dalam perjalanan kita sebagai hamba kepada Allah SWT, kita perlu menempuh pertarungan demi pertarungan melawan hawa nafsu dan syaitan. Hendak istiqamah berada dalam ketaatan itu sudah memerlukan mujahadah yang besar kerana nafsu lebih cenderung kepada perkara yang melalaikan. Bila telah berada dalam ketaatan, kita diuji pula dengan bisikan-bisikan dan jarum halus syaitan yang berusaha menghapuskan pahala amal kebaikan dengan pelbagai penyakit hati – ujub, riyak, sum’ah dan sebagainya.

Letih bukan?

Namun…

Ketahuilah dan rasailah bahawa Allah SWT sedang melihat hamba-hamba-Nya. Kita sentiasa berada dalam pandangan Allah SWT sama ada yang terzahir mahupun yang tersembunyi di dalam dada. Firman Allah SWT dalam Surah At-Taghabun, ayat 4:

يَعْلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَيَعْلَمُ مَا تُسِرُّونَ وَمَا تُعْلِنُونَ ۚ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

“Ia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi; dan Ia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan; dan Allah sentiasa Mengetahui segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada”

 

Disebabkan Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui keadaan hamba-hamba-Nya dan Dialah Tuhan yang menciptakan sekalian alam serta segala sesuatu berada di bawah kekuasaan-Nya, maka sudah tentulah hanya kepada Dia kita sandarkan segala urusan kehidupan – dunia mahupun akhirat. Allah SWT telah mengajar kita berdoa untuk menyerahkan segala urusan kepada Dia iaitu firman-Nya di penghujung ayat 44 Surah Ghafir:

وَأُفَوِّضُ أَمْرِىٓ إِلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَصِيرٌۢ بِٱلْعِبَادِ

“dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya”.

 

Seringkali yang membuat kita tertekan dengan masalah kehidupan sama ada urusan rezeki, urusan anak-anak, urusan memperbaiki diri dan apa jua urusan adalah kerana kita menyandarkan kemampuan menguruskan segalanya kepada diri sendiri, bukan kepada Allah SWT.

Kerana kita merasakan yang memberikan rezeki itu adalah daripada titik peluh sendiri, yang menjadikan anak-anak pandai dan berakhlak itu atas usaha didikan yang kita berikan dan yang menjadikan kita taat itu adalah kerana ilmu yang kita pelajari – lalu  kita tidak meletakkan pergantungan seratus peratus kepada Allah SWT.

Tidak dinafikan, usaha itu adalah sunnatullah yang perlu kita laksanakan untuk memperoleh sesuatu yang kita inginkan. Namun jangan sampai kita terlupa bab syariatullah – bahawa segala usaha yang kita lakukan tadi tidak akan ada hasilnya jika Allah SWT tidak menghendaki.

Maka, bukankah Allah SWT lebih layak untuk kita letakkan segala pengharapan dan pergantungan?

Jadilah hamba yang berdikari dengan sentiasa menghubungkan segala usaha dan amal dengan penyerahan serta pengharapan kepada Allah SWT, bukan hanya bergantung kepada kemampuan diri yang hakikatnya lemah dan tidak ada daya upaya sedikit pun.

Sedarilah hakikat kehambaan, bahawa kita adalah hamba yang datang daripada Allah SWT, yang ditadbir oleh Allah SWT, yang diberikan rezeki dan kebaikan daripada Allah SWT, yang dilindungi oleh Allah SWT, yang diberikan kekuatan oleh Allah SWT dan yang akan kembali kepada Allah SWT bila tiba waktunya.

Lalu, hilangkanlah segala keresahan dan kegusaran tentang masa hadapan, lenyapkanlah kesedihan masa lalu dengan menguatkan hubungan seorang hamba dengan pencipta-Nya melalui ibadah seperti solat, membaca Al-Quran, berzikir mengingati-Nya serta berusaha mentaati segala suruhan dan larangan-Nya. Tempuhi dengan hati yang ikhlas dan bermujahadah (bersungguh-sungguh melaksanakan ketaatan dan meninggalkan larangan serta perkara yang melalaikan)

Saya akhiri penulisan kali ini dengan satu doa yang diajarkan Baginda Nabi Muhammad SAW kepada Saidatina Fatimah:

يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ، وَأَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ وَلاَ تَكِلْنِيْ إِلَى نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ أَبَدًا

Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmatMu aku minta pertolongan, perbaikilah segala urusanku dan jangan diserahkan kepadaku sekali pun sekejap mata tanpa mendapat pertolongan dariMu selamanya).”

(HR. Ibnu As Sunni dalam ‘Amal Al-Yaum wa Al-Lailah no. 46, An-Nasa’i dalam Al-Kubra, 381: 570, Al-Bazzar dalam musnadnya 4/ 25/ 3107, Al-Hakim 1:545. Sanad hadis ini hasan sebagaimana dikatakan oleh Syaikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadis As-Sahihah, no. 227)

Sungguh, Allah lebih mengetahui.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *