Tentang Ujian
Bismillah.
Dalam perjalanan kita mengenal Allah SWT, kita akan melalui banyak ujian. Begitu juga dalam pergelutan kita untuk memperbaiki diri dan dalam usaha menambah baik kehidupan beragama, kita pasti akan menempuh banyak ujian.
Kenapa kita perlu diuji?
Ketika kita belajar di universiti dahulu, kita akan melalui banyak ujian dan peperiksaan sama ada ujian bertulis mahupun ujian amali. Tujuannya apa?
Ujian bertulis sebagai penentu bahawa kita benar-benar memahami sesuatu subjek itu. Tetapi belum tentu kita mampu mempraktiskan apa yang kita pelajari. Lalu kita perlu pula menjalani ujian amali. Ia sebagai pengukuh untuk menentukan bahawa kita telah memahami dan mampu mengaplikasikan ilmu yang dipelajari.
Begitu juga dengan kehidupan.
Kita ambil contoh konsep syukur. Kita baca banyak tulisan tentang pentingnya untuk mensyukuri segala nikmat yang Allah SWT kurniakan. Kita dengar banyak kuliah yang menceritakan tentang kelebihan orang yang sentiasa bersyukur kepada Allah SWT. Daripada pembacaan dan kuliah yang kita dengar tadi, kita faham bahawa sebagai orang beriman, kita mesti jadi orang yang bersyukur.
Namun, setelah kita memahami konsep syukur tadi, adakah kita akan terus jadi orang yang bersyukur?
Belum tentu selagi kita tidak melalui proses seterusnya iaitu – ujian.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ankabut, ayat 2 yang bermaksud:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”
Berbalik kepada soalan awal tadi, kenapa setelah memahami sesuatu kita perlu diberikan ujian.
Ujian bukanlah hukuman daripada Allah SWT, ia adalah teguran dan pengajaran buat orang yang berakal. Ujian juga sebagai tanda kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya kerana dengan asbab ujian, seorang hamba akan kembali kepada pencipta-Nya. Malah Allah SWT mengangkat darjat hamba-Nya yang diberikan ujian.
Daripada ‘Aisyah R.Anha dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda:
مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً
Maksudnya: “Tidak ada satupun musibah (ujian) yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang seumpamanya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya (dosanya).”
Riwayat Muslim, 4665
Kemudian dikurniakan pula pahala tanpa batas atas kesabaran seorang hamba yang diuji. Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zumar, ayat 10 yang bermaksud:
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas”
Ujian bukan sahaja datang dalam bentuk kesusahan tetapi juga boleh datang dalam bentuk nikmat dan kesenangan.
Ujian – tidak lain tidak bukan adalah untuk mengukuhkan kefahaman kita tentang sesuatu konsep. Ujian adalah medan kita beramal dengan sesuatu perkara yang telah kita fahami. Ujian akan mengingatkan kita tentang apa yang telah kita pelajari dan yang telah kita fahami. Maka ujian inilah masanya untuk kita beramal dengan ilmu yang Allah SWT kurniakan.
Saya sendiri sentiasa diuji dengan apa yang saya tulis. Sungguh! Kadang-kadang hadir rasa takut untuk menulis. Takut sungguh diuji dengan apa yang ditulis. Namun kadangkala, bebanan akal yang sentiasa sarat dengan monolog dalaman ini perlu juga dilegakan dengan jalan menulis.
Apa pilihan yang kita ada?
Terimalah hakikat bahawa kehidupan di dunia yang sementara ini adalah untuk diuji. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mulk, ayat 2 yang bermaksud:
“Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.”
Setelah kita bertemu dengan kematian, kita akan melalui satu alam yang kekal abadi. Mudah-mudahan kita dikurniakan pengakhiran hidup yang baik dan dengan rahmat Allah SWT, kita terpilih pula menjadi penghuni syurga yang mana tidak ada lagi yang dinamakan ujian. Allahumma ameen.
Sahabat-sahabat yang berminat untuk dapatkan ebook pertama saya, boleh klik pautan ini ya: https://bit.ly/ebookparenting-notaaisyah
Terima kasih ☺️