Jurnal Kehidupan

9 Tahun Bersyukur

Bismillah.

Semalam 14 Februari 2024 genap 9 tahun kami melayari bahtera rumahtangga, alhamdulillah.

Kami sebenarnya tidak berniat memilih tarikh pernikahan pada tarikh yang sinonim dengan Hari Valentine. Pada ketika itu, itu sahajalah tarikh yang sesuai bagi kedua-dua buah keluarga.

Tahun ini tidak ada sambutan yang istimewa, sama sahaja seperti tahun-tahun yang lalu. Cukup ulang tahun perkahwinan kali ini disambut dengan saling mengingatkan untuk sama-sama tingkatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Kerana tidaklah mampu kami melayari bahtera di lautan yang bergelora ini, tanpa Allah yang menjaga dan memberikan kami kekuatan untuk terus bertahan.

Kami saling mengingatkan untuk perbanyakkan bersyukur kepada Allah, kerana pada usia perkahwinan mencecah 9 tahun ini, rasa cinta dan keharmonian dalam rumah tangga masih dilindungi Allah daripada segala musibah. Apabila rasa hormat, saling menghargai dan saling menasihati masih subur dalam rumahtangga – insya-Allah, itu tanda adanya rahmat Allah yang memayungi.

Bukan kerana kita yang pandai mengharung badai, bukan kerana kita yang bijak mengurus rumah tangga tetapi hanya semata-mata rahmat dan kasih sayang Allah-lah, kita masih bertahan dan bersyukur.

Banyakkan mengenang nikmat Allah, pasti akan hadir rasa syukur.

Sehingga hati kita merasa reda dan cukup dengan segala pemberian Allah, sehingga hati merasa lapang dan tenang meskipun zahirnya manusia melihat kita serba kekurangan. Dan di atas segala pemberian Allah itu, tidak ada waktu dan ketika yang lebih kita syukuri selain daripada merasakan dalam hati bahawa kita sangat memerlukan Allah dalam setiap saat kehidupan kita di dunia ini.

Cukuplah Allah bagiku. Dia segalanya yang aku perlukan kerana Dialah sumber ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

حَسْبِيَ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَعَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ

“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘arsy yang agung.”

Alhamdulillah, segala puji bagi-Mu Ya Allah.

Terima kasih sahabat baik, Zuhair Masiran. Moga Allah jaga persahabatan ini hingga syurga. Allahumma ameen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *