Bab al-Nisa
Bismillah.
Masjid adalah satu tempat yang sangat dekat di hati saya. Tempat berehat sebentar daripada kehidupan dunia dan tempat hati terasa lebih tenang dan damai. Ia satu bangunan spiritual yang sangat istimewa yang Allah ciptakan untuk hamba-hamba-Nya.
Jika masjid di sini pun sudah terasa nikmat di hati, apatah lagi Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa yang Nabi bersolat di dalamnya. Moga Allah izinkan diri ini bersolat di sana satu hari nanti, insya-Allah.
Disebabkan itulah, Rasulullah SAW tidak menghalang para wanita menunaikan solat berjemaah di masjid meskipun ada hadis Baginda SAW menyatakan bahawa tempat yang lebih baik bagi wanita untuk menunaikan solat adalah di rumah.
“Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di halaman rumahnya dan solat di bilik tidur / bilik persendirian adalah lebih baik daripada solat di rumahnya”.
(Hadis riwayat Sunan Abi Daud, No. 570)
(Imam Nawawi menilai sanad hadis ini adalah sahih mengikut syarat imam Muslim)
Namun begitu, Rasulullah SAW tetap memberi panduan kepada wanita yang ingin menunaikan solat di masjid agar terperlihara daripada perkara yang menimbulkan fitnah.
“Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita untuk pergi ke masjid, tetapi mereka boleh keluar dalam keadaan tidak memakai wangi-wangian”.
(Hadis Riwayat Abu Daud, No. 565)
Bukan itu sahaja, demi menjaga maruah dan martabat para wanita, Rasulullah SAW mencadangkan untuk disediakan pintu khas yang dinamakan Bab al-Nisa untuk wanita agar tidak berlaku percampuran antara lelaki dan wanita ketika hadir ke masjid.
“Daripada Ibn Umar, Rasulullah ﷺ bersabda: Alangkah baiknya sekiranya kita biarkan pintu ini dikhususkan untuk wanita sahaja. Berkata Nafi (anak murid Ibn Umar), setelah mendengar kata2 Rasullah itu, Ibn Umar tidak pernah memasuki pintu itu sehinggalah beliau meninggal.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Selesai solat, Rasulullah SAW akan tunggu sebentar di dalam masjid sambil berzikir supaya para wanita dapat keluar terlebih dahulu.
“Daripada Ummu Salamah, beliau berkata, Rasulullah ﷺ akan duduk seketika setelah memberikan salam setelah selesai solat. Para wanita akan bangun setelah Baginda ﷺ memberi salam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Subhanallah, begitulah Rasulullah sangat menjaga wanita. Baginda tahu ada wanita yang hatinya sangat rindu kepada masjid. Maka diizinkan dengan beberapa syarat dan kaedah agar tidak berlakunya fitnah.
Oleh itu, buat para wanita yang ingin ke masjid, pastikan terlebih dahulu beberapa perkara agar kita tidak terjatuh kepada perkara yang dimurkai Allah, antaranya:
- Tidak memakai wangi-wangian
- Menutup aurat dengan sempurna
- Tidak bertabarruj
- Mencari laluan yang jauh daripada bertembung dengan orang lelaki
Mudah-mudahan hadirnya kita ke Masjid membawa pulang seribu satu rahmat dan keampunan sebagai bekal kekuatan untuk terus istiqamah dalam ketaatan kepada Allah dan Rasul. Insya-Allah.
