Mesin Basuh
Bismillah.
Saya memerhatikan mesin basuh usang yang sedang laju berputar mennyelesaikan spin mode. Badannya yang kelihatan agak tua itu bergegar kuat dan menghasilkan bunyi bising yang memecah keheningan pagi. Terbit kerisauan dalam hati apabila membayangkan mesin basuh yang seakan sakit itu sedang menghampiri penghujung hayatnya lalu meletup dan mengheret saya sekali ke alam abadi. Naudzubillahi min zalik.
Overthinking! Bukan apa, masih terbayang dalam minda satu video yang lalu ketika jari ligat menolak skrin telefon pintar – video yang memaparkan sebuah mesin basuh di kedai dobi meletup sebaik sahaja pelanggan terakhirnya keluar meninggalkan kedai tersebut. Seram!
Bila dikira-kira, sudah agak lama mesin basuh ini berkhidmat. Tempat asalnya adalah di rumah keluarga mertua, tidak pasti pula berapa lama ia berkhidmat di sana. Setelah bertukar tuan, hampir 5 tahun pula ia berkhidmat. Sangat setia. Namun dalam tempoh itu, saya tidaklah begitu merasai nikmat kewujudannya, apatah lagi mensyukuri kemudahan yang ia berikan kepada kami sekeluarga.
Hanya baru-baru ini saya merasakan betapa bahagianya hidup memiliki sebuah robot bernama mesin basuh. Al-kisahnya, 2 minggu lepas mesin basuh ini rosak. Maka, 2 minggulah kami berulang-alik ke kedai dobi untuk membersihkan pakaian.
Terimbaulah kenangan ketika di awal perkahwinan dahulu ketika kami menetap di Flat DBKL, Cheras tanpa mesin basuh, malah tanpa kelengkapan rumah yang lain – katil, tilam, apatah lagi sofa dan televisyen. Hanya peti sejuk satu pintu berwarna hijau yang kami beli utuk kemudahan menyimpan barang mentah yang akan dimasak.
Pakaian pula dibasuh secara manual – barangkali kebiasaan membasuh baju dengan tangan ketika di zaman universiti masih lekat, jadi tidaklah kekok apabila perlu membasuh baju tanpa bantuan mesin basuh. Ajaibnya, ketika itu tidak pula kami merasa kepayahan tanpa adanya mesin basuh di rumah.
Alhamdulillah ‘ala kulli hal, tempoh setahun pertama itu berlalu dengan tenang meskipun keadaan tempat tinggal yang kurang selesa, namun kami sangat bersyukur mempunyai tempat berteduh dan tidak perlu melalui pahit jerih hubungan suami dan isteri jarak jauh.
Tahun kedua, Allah rezekikan kami membeli mesin basuh second hand berharga RM200. Syukur, kehidupan terasa lebih mudah.
Kini, di usia perkahwinan kami hampir memasuki 9 tahun, kami masih belum merasa mesin basuh baru. Bukan tidak mampu, belum lagi merasakan ia satu keperluan yang mendesak. Mesin basuh second hand pemberian ayah mertua pula setia berkhidmat.
Alhamdulillah, mesin basuh tersebut kembali berkhidmat. Moga panjanglah umur hendak-Nya kerana belum ada lebihan kewangan untuk melamar yang baru.
Kepada mesin basuh yang usang, terima kasih atas segala khidmatmu. Sungguh, kami sangat hargai.