Jurnal Kehidupan

Tentang Pilihan

Bismillah.

Sudah hampir 13 tahun usia saya bersama jemaah Pasti Islam Se-Malaysia (PAS) sejak saya berbaiah pada tahun 2010.

Usah ditanya kenapa saya memilih untuk bersama PAS, kerana ia sebenarnya adalah pilihan Allah ke atas saya. Tidaklah ada sezarah pun kekuatan untuk saya menempuh jalan ini tanpa izin daripada Allah. Dia yang meletakkan saya di jalan ini tanpa saya meminta. Dia yang mengekalkan saya di atas jalan ini (setakat ini), meskipun jarang sekali saya meminta agar dikurniakan istiqamah.

Saya tiada pilihan selain terus bersama jemaah PAS ini, menabur bakti sekadar yang ada dan termampu – kalaulah ia dikira sebagai amal bakti yang ikhlas kerana-Nya – saya sendiri tidak pasti.

Sebab itu, saya seboleh mungkin hanya mendiamkan diri ketika ada orang sekeliling yang mempersoalkan pilihan saya ini. Kerana saya tidak mampu memberi jawapan tuntas yang boleh memuaskan hati semua orang.

“Cukuplah sekadar menyokong, tak payahla nak terlibat dengan gerak kerja politik”

“Jangan sampai dipergunakan sudahlah”

“Orang PAS ni taksub dengan parti dan pimpinan”

Entah apa lagi anggapan dan sangkaan yang mereka tuturkan. Sangat perit untuk ditelan.

Namun, saya masih setia mengambil pendekatan untuk berdiam sahaja. Ia lebih selamat daripada saya mengeluarkan kata-kata yang mungkin mencalarkan hati orang lain.

‘Alla kulli hal, saya sendiri tidak pasti sampai bilakah Allah akan mengizinkan saya berada di atas jalan ini. Mudah-mudahan saya ditakdirkan untuk istiqamah di sini, selagimana ia baik untuk dunia dan akhirat saya.

Pilihan ini terlalu dekat dengan jiwa saya. Sejauh mana saya cuba lari daripadanya, sekuat itu pula ia datang memenuhi takdir yang Allah sendiri tentukan.

Saya pasrah dan berserah kepada-Nya.

وَأُفَوِّضُ أَمْرِىٓ إِلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَصِيرٌۢ بِٱلْعِبَادِ

“Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.”

Al-Mukmin:44

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *