Jurnal Kehidupan

Muhasabah Rumahtangga

Bismillah.

Jujurnya, saya tidak pasti semalam kali ke berapa dalam tahun ini, kami duduk bermuhasabah – heart to heart session. Alhamdulillah, saya sangat menghargai seorang suami yang sentiasa berusaha membetulkan layar bahtera rumah tangga ini agar sentiasa berada pada jalan yang benar. Agar kami sama-sama sampai ke destinasi akhir kehidupan ini iaitu reda Allah.

Ia membuatkan saya mengimbau kembali, saat dan ketika saya membuat keputusan untuk bersuamikan beliau. Niatnya terasa masih segar – reda Allah. Meskipun pada ketika itu, tidaklah saya benar-benar menjiwai apa yang disebutkan sebagai reda Allah itu.

Lalu saya sentiasa merasa yakin, setiap perkara yang kita lakukan tulus ikhlas kerana Allah, meskipun jalannya berliku dan keras badainya, insya-Allah pertolongan Tuhan pasti ada.

Apa yang kami bincangkan?

1 – Muhasabah amal soleh

Inilah perkara tunjang, yang paling utama untuk membentuk sebuah rumah tangga yang sentiasa dalam pandangan kasih sayang Allah. Berada dekat dengan Allah, adalah satu-satunya solusi dalam apa jua ujian yang kita tempuhi. Ia bukan sekadar tentang hilangnya ujian apabila kita dekat dengan Allah, tetapi kita dapat menempuh ujian dengan hati yang lebih teguh, bahkan bertambah keimanan kepada Allah.

Senaraikan apa amalan yang hendak dilakukan bersama dan masing-masing kongsikan pula apa amalan yang hendak diperbaiki. Tujuannya adalah, suami isteri boleh saling mengingatkan ketika dalam keadaan lalai atau terlupa. Lebih mudah menegur dan menasihati ketika suami dan isteri mempunyai keazaman yang sama untuk berhijrah menjadi hamba Allah yang lebih baik.

2 – Muhasabah parenting

Rasanya inilah yang bahagian paling susah. Lebih mudah mengubah diri sendiri daripada mengubah orang lain, walaupun anak sendiri yang masih kecil. Suami pesan, kita mula dengan mengubah diri kita dahulu. Insya-Allah anak akan mengikut segala kebaikan dan akhlak mulia yang kita tunjukkan.

Dalam bahagian ini, kenal pasti kesilapan-kesilapan parenting yang kita dah lakukan dan apa perkara yang kita perlu perbaiki. Lebih baik sekiranya kita dapat senaraikan setiap kesilapan dan perkara yang kita hendak perbaiki. Ulang baca setiap hari agar kita tidak lupa dan terbabas melakukan kesilapan yang sama.

Golden age anak adalah 6 tahun pertama. Berbaki lagi 3 tahun untuk kami berusaha sehabis baik untuk membangunkan software  yang baik dalam diri Aisyah – yang akan membentuk akhlak dan peribadi yang unggul. Tempoh itu juga adalah peluang yang sangat baik untuk kita bina hubungan yang baik dengan anak – biar kita yang menjadi bestfriend pertama mereka.

Pesan suami lagi, apabila kita melakukan perubahan yang lebih baik dalam urusan parenting ini, jangan sesekali meletakkan harapan agar anak terus berubah. Panjatkan doa dan letakkan pengharapan kepada Allah semata-mata, kerana hanya Dialah yang berkuasa mengubah diri seorang hamba. Kita hanya berusaha sehabis baik dan serahkan, bertawakal sepenuhnya kepada Allah.

3 – Pengurusan rumah tangga

Perkara ini nampak kecil tetapi tidak kurang pentingnya. Mengurus rumah tangga adalah tanggungjawab bersama, tidak boleh dibebankan kepada satu pihak sahaja.

Pernah dengar tak pepatah inggeris menyebut:

“How you do the little things is how you do everything.”

Pengurusan rumah tangga yang baik juga adalah satu elemen penting yang akan mengekalkan keharmonian keluarga. Ini termasuklah urusan kebersihan dan kekemasan rumah, ia mewujudkan suasana rumah tangga yang tenang dan damai. Libatkan sekali anak-anak dalam kerja membersih dan mengemas rumah. Berikan mereka tugasan khusus agar mereka terbiasa dengan kerja-kerja di rumah.

Begitulah.

Dalam menjalani kehidupan hari ini, kita harus menerima hakikat bahawa hidup pasti akan diuji. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 & 156 yang bermaksud:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (155)

Maka, ketika kita menerima ujian daripada Allah, dan hati terasa begitu sempit, tarik handbrake dan bermuhasabahlah seketika. Perbetulkan dan perbaiki hubungan dengan Allah dahulu. Munajat, berdoa dan mengadulah kepada Allah yang sangat luas kasih sayang-Nya buat seorang hamba.

Sehingga kita merasakan hati yang lebih tenang dan lapang, dan sanggup mengucapkan ‘alhamdulillah’ meskipun pelbagai kesukaran yang kita sedang hadapi.

Sambungan ayat 156, Surah Al-Baqarah:

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Mudah-mudahan, kita dipilih menjadi hamba-Nya yang dikurniakan kesabaran dan hati yang tetap teguh beriman kepada Allah dalam apa jua keadaan – dalam ujian mahupun nikmat.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *