Pertahankan Maruah Saudara
Bismillah.
Buku Bahtera Penyelamat tulisan Ustaz Fathi Yakan ini pernah saya baca ketika di kampus lebih kurang 11 tahun yang lalu iaitu pada tahun kedua pengajian.
Walaubagaimanapun, buku ini masih dekat di hati saya. Kerana ketika itu, satu bahagian daripada buku ini pernah memberi kesan pada diri. Namun begitu, tempoh masa 11 tahun adalah tempoh yang lama. Hikmah yang pernah saya kutip daripada buku ini satu masa dahulu barangkali telah pudar, bahkan mungkin telah hilang. Maka saya merasa perlu buku ini diulang baca.
Insya-Allah, pembacaan kali ini akan saya catat hikmah-hikmah yang ada padanya agar saya tidak lupa. Mudah-mudahan, Allah mengingatkan saya kembali melalui tulisan ini ketika saat dan waktu yang saya perlukan.
Bahagian pertama yang saya nak kongsikan pada hari ini adalah tentang:
Bercakap perihal keburukan orang lain
Manusia fitrahnya akan sentiasa melakukan kesilapan. Boleh jadi kesilapan yang sama dilakukan berulang-kali. Ada kesilapan yang dilakukan kerana jahil. Tidak kurang juga kesilapan yang kita lakukan dalam keadaan kita sebenarnya tahu ia adalah perbuatan yang salah, namun kadang-kadang kita dilupakan oleh nafsu dan syaitan.
Sebagai contoh, perbuatan ‘bercakap-cakap tentang perihal orang lain’
Inilah perkara yang saya dan suami muhasabahkan bersama. Bukan sekali dua. Tapi dah berkali-kali rasanya kami berazam untuk tidak membicarakan hal orang lain melainkan hal kebaikan sahaja.
Dalam hidup ini, kita berhadapan dengan pelbagai ragam manusia. Ada yang membuat kita marah, berkecil hati dan sebagainya. Tanpa iman yang kuat, kerapkali kita tergelincir membicarakan perihal orang-orang yang menyakiti kita.
Dalam sebuah hadis Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Tahukah kalian apa ertinya mengumpat?”
Sahabat menjawab:
“Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”
Ujar Rasulullah SAW lagi:
“Mengumpat ialah engkau mengatakan tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya.”
Hadis ini tidak dinyatakan sumber dalam buku ini dan sebenarnya hadis ini panjang lagi. Boleh rujuk melalui sumber-sumber yang sahih.
Terdapat beberapa hadis lagi tentang mengumpat. Antaranya dinyatakan bahawa perbuatan mengumpat itu lebih buruk daripada zina. Kerana urusan taubat atas perbuatan berzina adalah antara hamba dan Allah. Manakala, perbuatan mengumpat mestilah mendapat kemaafan daripada orang yang diumpati terlebih dahulu.
Moga Allah SWT memberikan kita kekuatan, taufiq dan hidayah-Nya agar kita istiqamah menjauhi perbuatan mengumpat ini. Saling mengingatkan sahabat, ahli keluarga dan pasangan kita juga.
Sekarang, kita bicarakan pula bagaimana hendak menghadapi orang yang suka bercakap perihal keburukan orang lain di hadapan kita?
Pertahankan maruah saudara kita
Dalam buku ini dicatatkan dua hadis. Baginda Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
“Barangsiapa yang mempertahankan maruah saudaranya ketika saudaranya itu tidak ada, maka wajiblah Allah melepaskannya dari seksa neraka”
(Hadis Riwayat Ahmad)
“Barangsiapa yang mendengar saudaranya diumpat namun dia tidak membelanya padahal ia mampu, maka ia ikut menanggung dosa pengumpatan itu di dunia dan di akhirat.”
(Hadis Asfahani)
Insya-Allah sama-sama kita berazam untuk mempertahankan maruah saudara kita ketika keburukan mereka diceritakan kepada kita. Meskipun ada bahagian dalam hati kita yang mengiakan segala yang diperkatakan tentang saudara kita tersebut.
Boleh jadi kita juga marah, sakit hati dengan saudara yang diumpat itu, namun berusahalah untuk menelan segala pahit dan perit itu dan mengambil jalan yang lebih dicintai Allah dan Rasul – iaitu mempertahankan maruah saudara kita.
Seperti sebuah hadis yang dicatatkan dalam buku ini, Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Tidak ada satu penanggungan yang lebih dikasihi Allah daripada seteguk kemarahan yang ditelan oleh seseorang. Mana-mana perasaan marah yang dikawal oleh seseorang semata-mata kerana Allah nescaya Allah akan penuhkan batinnya dengan keimanan.”
Larangan mengintai aib saudara
Saya salin kembali catatan penulis dalam buku ini:
Orang-orang yang suka mengintai-intai aib orang lain dan menceroboh serta menghakis nama baik mereka hendaklah merasa takut terhadap balasan murka Allah SWT serta janji-janji siksa-Nya yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW:
“Wahai orang-orang yang beriman dengan lisan; akan tetapi Iman belum menyerap ke dalam hati, janganlah kalian menyakiti orang lain. Jangan menginta-intai aurat (cacat cela mereka), sesungguhnya barangsiapa yang cacat celanya diintai oleh Allah nescaya Allah akan bukakan pekungnya walaupun dalam kenderaannya sendiri. Dalam riwayat lain disebutkan: Walaupun di tengah rumahnya sendiri.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Wallahu’alam.
Sekian sahaja catatan pada pagi ini. Mudah-mudahan ada manfaatnya untuk kita semua.