Hikmah Tamakninah
Bismillah.
Meskipun tulisan kali ini tidak termasuk dalam to do list yang nampak gayanya tidak habis-habis, tetapi mana mungkin saya dapat menidakkan keinginan akal dan hati yang mendesak tangan ini untuk terus menari di papan kekunci untuk meluahkan segala isi hati yang memenuhi benak fikiran.
Perlu juga idea-idea itu dilepaskan supaya ada ruang untuk banyak perkara yang lebih penting mengisi ruangan akal – perkara yang lebih perlukan perhatian daripada seorang Tasnim.
Sebelum itu, perlu juga rasanya saya menzahirkan sedikit kekecewaan lantaran banyak juga tulisan dalam blog kesayangan ini hilang akibat hosting down beberapa hari yang lepas.
Tulisan-tulisan terbaru yang semuanya saya anggap sebagai mutiara dan hikmah kehidupan tidak dapat diselamatkan. Ibarat telah hilang sebahagian hati dan jiwa ini bersama hilangnya penulisan tersebut. Kerana setiap tulisan di blog ini, saya nukilkan dengan hati dan jiwa.
Namun, alhamdulillah ‘ala kulli hal. Sekurang-kurangnya, tidak semua tulisan yang hilang. Jika tidak, rasanya tidak mampu lagi untuk bangkit dari kekecewaan ini. Encik bestfriend saya dah buatkan backup siap-siap supaya kejadian yang sama tidak berulang lagi.
Sekali lagi, alhamdulillah. Ada masa Tuhan berikan kita rasa kecewa, kerana dari kekecewaan itu kita belajar untuk berlapang dada dan tetap mensyukuri apa sahaja nikmat pemberian-Nya.
Ikutkan hati, lidah ini nak saja meluahkan segala kekesalan dengan rungutan yang tidak habis. Tetapi iman memandu agar hati berlapang dada dengan ujian Allah, dan tetap menjadi hamba yang bersyukur – dalam keadaan diberi nikmat mahupun ujian.
Okay, jom kita bercerita tentang tamakninah.
Jika dirujuk dalam Kamus Bahasa Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, tamakninah atau dalam ejaan jawinya طمأنينة bermaksud:
- Tetap atau kekal (pendirian, dll)
- (dlm sembahyang) berhenti sebentar antara dua rukun sekadar tetap semua anggota pada tempatnya
Sekurang-kurangnya, itulah yang kita fahami apabila ditanya tentang tamakninah.
Tetapi rupa-rupanya, makna tamakninah lebih besar daripada sekadar pengertiannya dalam solat.
Semalam dalam perjalanan pulang ke rumah dengan hati yang sedikit sebu dan keliru; ditambah pula dengan hujan dan angin malam yang sepertinya membuatkan cuaca hati terasa lebih mendung, saya terdengar perkongsian seorang Ustaz tentang tamakninah di radio Zayan fm.
Tamakninah – tempoh bertenang
Ustaz tersebut menyatakan bahawa tamakninah juga bermaksud bertenang seketika.
Entah kenapa, ketika Ustaz membicarakan soal ini, ada satu ketenangan yang mengalir entah dari mana mengisi ruang hati. Aisyah di sebelah juga kelihatan tenang, bersandar sambil memeluk tupperware yang terisi dengan buah jambu kegemarannya. Momen yang sangat aman, yang tidak mampu saya gambarkan dengan kata-kata.
Pesan Ustaz, konsep tamakninah ini bukan sahaja dipraktiskan dalam solat, tetapi juga dalam kehidupan seluruhnya. Dalam apa sahaja kerja buat yang kita lakukan, mesti ada tamakninah.
Tamakninah dalam solat memberi ruang untuk kita muhasabah kembali bagaimana dengan rukun solat yang kita lakukan sebelum itu.
Sebagai contoh sebelum rukuk, kita membaca Surah Al-Fatihah. Maka, renungkan sebentar apakah Al-Fatihah yang kita baca itu dalam keadaan sedar (khusyuk) atau tidak? Atau sekadar lidah yang melafazkan, tetapi hati menerawang ke tempat lain.
Begitu juga dalam kehidupan seluruhnya. Tamakninah adalah ruang bertenang daripada kesibukan yang tidak akan pernah habis, untuk kita membuat refleksi terhadap kehidupan yang telah kita jalani.
Tarik nafas dalam-dalam (dengan hidung), tahan dan lepas perlahan-perlahan (dengan mulut) – insya-Allah terasa lebih tenang.
Lalu ambil masa barang seketika untuk merenung bagaimana dengan amal kita, pertuturan, akhlak, tanggungjawab – adakah semuanya telah dilakukan dengan baik mengikut panduan Allah dan Rasul?
Pasti ada kelompangan yang kita terlepas pandang. Ada cacat cela yang kita tidak perasan sebelum ini.
Bayangkan sebuah kapal yang ada kebocoran, tetapi nakhoda kapal tersebut tidak pernah mengambil tahu samada keadaan kapal itu selamat atau tidak. Kebocoran semakin merebak dan akhirnya kapal hilang tenggelam bersama nakhoda dan anak kapal.
Begitulah umpamanya seorang insan yang tidak meluangkan masa untuk menoleh ke belakang dan mencermati cacat cela diri. Sudah pasti tidak ada usaha untuk mengislah diri kerana tidak nampak kekurangan yang ada, tidak terlihat kerosakan yang perlu diperbaiki.
Maka, tanamkan azam dalam diri untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada. Samaada kekurangan itu dalam aspek hubungan kita dengan Allah mahupun hubungan sesama manusia.
Tamakninah – ketika merasa lelah
Dalam kehidupan ini, ada satu saat dan ketika kita akan merasa lelah. Barangkali lelah dengan jatuh bangun kehidupan. Atau lelah dengan pelbagai tanggungjawab yang terbeban di pundak. Ya, kita manusia. Lelah itu pasti ada.
Jika diamati, konsep tamakninah dalam solat juga mengajar kita untuk berhenti diam sebentar dan melafazkan kalimah yang memuji Allah sebagaimana zikir dan doa yang sunat dibaca ketika tempoh tamakninah dalam ruku’, sujud, i’tidal dan duduk antara dua sujud.
Zikir dan doa yang dibacakan itu tidak lain tidak bukan adalah untuk mententeramkan hati.
Firmah Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud:
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
Tamakninah mengajar kita dalam lelah mengurus kehidupan, berhenti sebentar untuk mengingat Allah.
Menyegarkan hati dan fikiran dengan mengingati Allah serta seluruh sifat dan nama-Nya yang maha sempurna – sebelum kita meneruskan permusafiran kita di dunia ini dengan hati yang lebih teguh, tenang dan tidak goyah dengan gangguan mahupun dengan ujian mendatang.
Begitulah.
Berusaha untuk memiliki hati yang tenang kerana ketenangan hati adalah syurga yang disegerakan di dunia. Dan dari ketenangan hati, lahir buah fikiran yang baik, tutur kata dan amal perbuatan yang baik, insya-Allah.
Akhir sekali, marilah sama-sama kita merenung bait ayat daripada Prof. Hamka dalam buku berjudul ‘Peribadi’:
“Jangan disangka bahawa peribadi yang besar dan kuat hanya semata-mata memakai sifat yang terpuji sahaja. Tidak! Bahkan sebaliknya, bertambah besar peribadi seseorang bertambah jelas letaknya kelemahan, bertampak tampak letaknya kekurangannya. Orang Arab berkata, ‘idza tamma syaiun bada nashqulu’ yang bermaksud apabila sesuatu sudah sempurna, jelaslah dimana kurangnya.”
Wallahua’lam.