Sabar Yang Menipis
Bismillah.
“Puan, borang akuan sumpah ni tak boleh tulis nama dengan singkatan TG; kena tulis penuh ‘TENGKU'”, kata pegawai wanita yang berbaju kurung biru.
Air muka saya terus berubah. Kelat bercampur pahit dan masam barangkali. Mujur sebahagian muka tertutup dengan mask. Bukan apa, ini dah kali ketiga saya datang ke Jabatan Pendaftaran Negara sebuah daerah. Tiga kali datang, tiga kali berjumpa dengan pegawai yang berbeza dengan SOP yang berbeza!
“Tapi Puan, dua pegawai yang saya jumpa sebelum ini tidak ada memaklumkan tentang perkara ini. Ini dah kali ketiga saya datang, bukan senang nak dapat cuti.” Nada saya sedikit keras tapi tidaklah meninggi, sedar ramai yang sedang memerhati.
“Saya tak pastilah Puan, mungkin pegawai sebelum ini tak perasan”
Entahlah, alasan yang rasanya tak boleh diterima. Bukankah sepatutnya jabatan-jabatan kerajaan perlu ada SOP yang tetap dan sistematik agar memudahkan urusan pelanggan yang datang. Semua pegawai menggunakan SOP yang sama, tak adalah sampai 4 kali kena datang disebabkan SOP pegawai yang berbeza-beza.
Rasa nak marah sungguh. Cuba juga beristighfar beberapa kali dalam hati. Ahh..rasa marah lebih menguasai seorang Tasnim. Keluar daripada JPN, saya menghamburkan segala kekesalan kepada suami yang lebih setengah jam menunggu di luar pejabat.
Bila terkenang kembali; Ya Allah, nipisnya kesabaran seorang Tasnim. Memanglah perkara yang berlaku ini adalah disebabkan kelemahan manusia dan sistem. Tetapi yang mengizinkan perkara itu berlaku adalah Allah – sebagai ujian mungkin.
‘Banyak dosa ni, sebab tu kurang sabar’. Begitulah saya bermonolog sendirian.
Ampunkan dosa Tasnim Ya Allah, dan kurniakanlah Tasnim sekeping hati yang sentiasa sabar dalam apa jua keadaan.