Resensi Buku

Cinta Di Rumah Hasan Al Banna (Bahagian 1)

Bismillah.

Semoga Allah mengizinkan saya untuk menulis ringkasan daripada buku ini sebagai panduan khusus buat diri dan mudah-mudahan menjadi ilmu yang bermanfaat kepada sahabat-sahabat. Kerana betapa saya sangat mengerti meskipun baru dua tahun lebih Allah mengizinkan saya bergelar ibu; bahawa perlunya kita sebagai ibu ayah untuk terus belajar tanpa henti – bagaimana menjadi ibu ayah yang terbaik buat anak-anak. Semoga Allah SWT merahmati penulis yang sanggup menulis buku yang sangat bermanfaat ini.

Apa yang akan saya kongsikan adalah isi utama yang ditulis oleh penulis sendiri berkenaan bagaimana Imam Hasan Al-Banna mendidik anak-anaknya sehingga beliau sangat dihormati dan dicintai oleh anak-anak; dan juga mungkin sedikit catatan yang tercetus daripada hati dan jiwa saya. Boleh jadi tulisan ini agak panjang, moga dikurniakan kesabaran untuk membaca dan mengutip apa jua hikmah yang ada.

Oh ya! Sebelum terlupa, penulisan ini lebih banyak menyebut peranan ayah kerana fokus buku ini adalah untuk menjelaskan peranan seorang ayah melalui teladan daripada Imam Hasan Al Banna. Namun pada pandangan peribadi saya, tidak salah jika seorang ibu juga memainkan peranan yang sama, pasti hasilnya lebih cemerlang – insya-Allah. Sebagaimana yang disebutkan dalam satu petikan daripada buku ini:

“Ibu mempunyai pengaruh penting dalam keperibadian seorang anak sehingga mereka merasa selesa, selamat dan mempunyai keyakinan diri yang kuat dalam menjalani kehidupan.”

20 Tips Mendidik Anak Gaya Imam Hasan Al Banna

1. Makan bersama menjadi keutamaan

Imam Hasan Al-Banna meninggal dunia ketika baru berumur 43 tahun; umur yang sangat muda. Namun kehidupan beliau yang singkat ternyata penuh dengan keberkatan. Sewaktu hayatnya, Imam Hasan Al Banna telah mengasaskan Pertubuhan Ikhwanul Muslimin dan melebarkan sayap dakwahnya sehingga berjaya mendirikan asas pembentukan 2000 cawangan al-Ikhwan di Kota Kaherah.

“Tetapi ternyata dia masih mampu menyempatkan waktu untuk makan bersama anak-anaknya di rumah. Suasana ketika makan itulah di antara detik-detik penuh kenangan bagi anak-anaknya.”

Makan bersama keluarga perlu menjadi agenda keluarga yang wajib dilakukan ibu ayah. Waktu makan adalah waktu untuk saling bermesra dengan ahli keluarga dan ia bukanlah waktu yang sesuai untuk berbicara tentang masalah atau hal-hal negatif yang boleh mengganggu suasana ceria ketika makan.

2. Tidak ada suara keras di rumah

Tsana bercerita, “Kami tidak pernah merasakan adanya beban kegiatan yang dirasakan ayah selama di rumah. Misalnya, kami tidak melihatnya seperti banyak orang yang kerap berteriak ataupun bersuara keras di dalam rumah akibat daripada tekanan mental dan fizikal setelah melakukan banyak aktiviti di luar rumah.”

Lazimnya seorang ibu yang penat menguruskan rumah tangga atau ayah yang kepenatan setelah pulang daripada bekerja pasti sesekali terlanjur meninggikan suara kepada anak yang kadang-kadang melakukan pelbagai hal untuk menarik perhatian. Tetapi tidak bagi Imam Hasan Al Banna. Meskipun tugas beliau sangat berat kerana memikul beban dakwah dan perjuangan, tetap beliau tidak pernah mengeraskan suara di rumah kerana keluarga juga adalah sebahagian daripada dakwah dan perjuangan beliau.

Kuncinya adalah sabar dan kuatkan kesabaran. Tapi, bagaimana mungkin kita mampu bersabar jika hati penuh dengan dosa? Tidak ada ruang untuk sabar di dalam hati yang penuh dengan dosa dan maksiat. Sebab itu pesan Ustazah Hafizah Musa, ibu ayah kena sentiasa melakukan solat sunat taubat. Bersihkan hati, dan mintalah pertolongan daripada Allah dengan bersungguh-sungguh. Kerana tugas menjadi ibu ayah ini adalah tugas yang berat, maka kita sangat memerlukan pertolongan daripada Allah.

3. Disiplin seorang ayah

Sebelum mendisiplinkan anak, ibu ayahlah yang terlebih dahulu perlu melatih diri untuk sentiasa berdisiplin dalam kehidupan seharian. Disiplin adalah sesuatu yang terbentuk daripada tabiat yang baik; yang telah sebati dalam diri kita. Makna kata, kita tidak memerlukan mood yang baik, motivasi atau peringatan untuk melakukan perkara tersebut. Sampai masa, kita akan buat sesuatu perkara itu dengan sendirinya. Disiplin paling utama adalah disiplin dalam menguruskan masa dengan baik.

Sebagai contoh, seorang ayah yang pulang sebelum maghrib setiap hari untuk makan malam bersama keluarga; atau seorang ayah yang meluangkan masa untuk membaca buku setiap hari. Perbuatan tersebut akhirnya menjadi contoh dan ikutan yang baik buat anak-anak. Kata anak sulung Imam Hasan Al-Banna yang bernama Wafa’:

“Ayah sangat mampu mengurus dirinya dan selalu disiplin terhadap dirinya sendiri.

4. Sentiasa memberikan perhatian kepada anak

“Jika seorang anak merasa bahawa dirinya adalah orang nombor satu dalam hati orang tuanya, itu adalah modal utama kejayaan dalam mendidik mereka.”

Imam Hasan Al Banna dalam kesibukan urusan dakwahnya, tidak lupa memberikan perhatian kepada anak-anak. Perhatian dalam pelbagai aspek seperti pendidikan, makan minum, kesihatan, prestasi anak-anak dan sebagainya. Sehingga perhatian yang penuh kasih sayang itu menimbulkan keakraban yang sangat kuat di antara anak-anaknya kepada Al Banna. Kata Ir. Raja’, anak perempuan yang ketiga:

“Kami begitu menyayangi ayah..sangat menyayanginya. Kami mentaati keinginannya kerana kami sayang kepadanya, bukan kerana kami takut padanya.”

5. Lembut perasaan terhadap anak-anak

“Hasan al Banna di mata anak-anaknya adalah orang tua yang telah memberikan cinta tulusnya kepada mereka semua. Bagaimana kelembutannya, kehalusannya, usahanya untuk tidak menyakiti anak-anaknya, semuanya menjadikan mereka anak-anak yang mudah diatur dan menurut.”

Inilah yang dikisahkan Saiful Islam, satu-satunya anak lelaki Imam Hasan Al Banna:

“Ayah sangat lembut perasaannya. Dia sangat memelihara perasaan anak-anak dengan begitu berhati-hati. Dia mempunyai kemampuan yang membuatkan kami patuh tanpa perlu diperintah untuk mentaatinya. Kami menganggapnya sebagai seorang yang berwibawa yang menyebabkan kami senang mengikuti keinginannya dan tidak mahu melawannya.”

Sayu rasanya hati apabila membaca perenggan ini. Masih jauh rasanya daripada sikap lembut perasaan sebagaimana Imam Hasan Al Banna. Kita kadang-kadang lupa bahawa anak kecil yang kita sangkakan tidak mengerti apa-apa itu, hakikatnya tetap mempunyai hati dan perasaan yang sangat halus.

Kita sering berdoa agar Allah Al-Latif melembutkan hati anak-anak, tetapi kita terlupa memohon kepada Allah yang memiliki nama Al-Latif dan Al-Halim untuk melembutkan hati dan perasaan kita kepada anak-anak. Bahkan boleh jadi itulah doa yang lebih utama. Semoga Allah mengurniakan kita sifat ‘Halim’ – penyantun dan penuh kasih sayang kepada anak-anak.

6. Mendidik anak berinfaq

“Seorang pendidik yang berjaya adalah yang boleh mendidik anaknya untuk bangkit bersama-sama dengan umatnya dengan cara memberikan manfaat kepada orang lain.

“Perkara ini dapat dimulakan dengan cara sederhana semasa anak itu masih kecil agar dia mahu berinfaq di jalan Allah. Agar dia kelak tidak menjadi manusia egois yang hanya memikirkan dirinya sahaja. Kerana itulah, Imam Hasan Al Banna begitu serius menanam nilai ini dalam diri anak-anaknya. Mereka dibiasakan untuk berinfaq bukan sekali dua sahaja, tetapi harus menjadi karekter ataupun sebahagian daripada jiwa mereka untuk selalu berinfaq.

7. Menasihati secara tidak langsung

“Ayah suka mengarahkan kami secara tidak langsung agar apa yang kami lakukan itu terbit dari diri sendiri, bukan daripada perintah atau tekanan sesiapa.”

Dalam buku ini diceritakan sebuah kisah bagaimana Imam Hasan Al Banna ‘menasihati’ anaknya Saiful Islam yang suka membaca komik. Beliau tidak melarang Saiful Islam membaca komik, tetapi beliau menghadiahkan buku kisah kemuliaan tokoh-tokoh Islam seperti Salahuddin Al-Ayubi. Selepas beberapa lama, Saiful Islam dengan sendirinya meninggalkan buku komik dan lebih banyak membaca buku pemberian ayahnya.

Begitulah bagaimana Imam Hasan Al Banna menasihati anaknya dengan penuh bijaksana. Tiada suara yang keras melarang dan tiada paksaan. Tetapi dengan sedikit pemberian daripada hati yang ikhlas dan benar-benar menginginkan kebaikan buat anaknya. Niat dan pemberian yang ikhlas itu menjadi asbab Allah memalingkan hati anaknya daripada membaca komik kepada membaca bahan-bahan yang lebih bermanfaat.

8. Menyemai cinta melalui teladan

“Cara yang baik dan benar adalah dengan menanamkan nilai dalam jiwa dan melalui cara yang lebih praktikal. Pimpin tangan si anak untuk melakukan sesuatu sekaligus menerangkan caranya dengan penuh kasih sayang, berhati-hati , serta latihan yang menerapkannya.”

Perasan tak anak kecil terutamanya, sangat mudah mengikut apa sahaja perbuatan yang kita lakukan. Sebab itu waktu kecil ini adalah waktu yang sangat kritikal bagi anak-anak, kerana ketika itu otak anak ibarat span yang menyerap apa sahaja yang didengar dan dilihat. Sebagai contoh, Ibu bapa yang kerap berterima kasih kepada anak, akan dapati anak mereka juga pandai mengucapkan terima kasih apabila mendapat bantuan atau sesuatu pemberian daripada ibu bapa.

Sebab itu perlunya kita berhati-hati dalam setiap tutur kata dan tingkah laku agar yang diteladani anak adalah tutur kata dan akhlak yang baik sahaja. Perkara ini sangat penting diterapkan sebelum anak-anak terdedah dengan pelbagai akhlak tidak baik yang dilihatnya di luar rumah terutamanya di sekolah.

9. Membuat penilaian anak

“Ayah yang berjaya mendidik anak adalah ayah yang selalu menilai anak-anaknya dalam segenap ruang. Persekitaran bahkan sekolah boleh saja merosakkan apa yang sudah ditanamkan ibu bapa di rumah. Maka salah satu kewajipan ibu bapa adalah tidak membiarkan nilai-nilai murni yang ditanam dalam diri anak-anak hancur oleh gelombang materialistik ataupun gaya hidup yang tidak selari dengan kehendak agama.”

10. Mewujudkan perpustakaan khusus buat anak

Hasan Al Banna sangat menitikberatkan pendidikan dari segi wawasan ilmu kepada anak-anaknya. Ini tergambar dalam perkara berikut:

a. Pemberian tempat perpustakaan khusus buat semua anak yang mengandungi buku-buku yang mereka inginkan.

b. Memberikan wang bulanan untuk membeli buku-buku yang diinginkan sendiri oleh anak-anaknya sesuai dengan kecenderungan mereka.

Membaca buku adalah satu tabiat atau disiplin yang sangat besar manfaatnya. Banyak ilmu baru yang kita perolehi dengan membaca. Bagi kanak-kanak pula, membaca adalah satu kaedah yang sangat baik untuk mengembangkan imaginasi dan kreativiti mereka. Antara tips yang dikongsi oleh kaunselor adalah menjadikan satu rutin untuk membaca buku bersama anak sebelum tidur.

Hasilnya, anak bukan sahaja lebih mudah tidur, malah anak akan merasa keseronokan luar biasa apabila kita membacakan buku untuk mereka dengan pelbagai gaya dan intonasi suara, dan akhirnya ia menjadi satu bonding time yang mengakrabkan lagi hubungan ibu ayah dengan anak.

Sekian dahulu catatan 10 tips mendidik anak gaya Imam Hasan Al-Banna. Insya-Allah di kesempatan yang lain saya akan menyambung lagi 10 tips yang terkandung dalam buku Cinta Di Rumah Hasan Al-Banna – buku yang sangat indah cahaya petunjuk-Nya, mudah-mudahan cahaya itu turut menyinari rumah tangga kita. Allahumma ameen.

Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *