Resensi Buku

Masa: Peliharalah! (Bahagian 2)

Bismillah.

Rasa seronok sangat kalau dalam masa sehari tu kita dapat menyelesaikan pelbagai tugasan. Dapat meluangkan masa dengan anak, menjalankan tanggungjawab di rumah, membaca buku dan pelbagai lagi tugasan yang kita berjaya buat. Alhamdulillah, syukur sangat atas kekuatan dan pertolongan yang Allah berikan.

Tapi ada juga hari-hari tertentu kita rasa kurang produktif. Emosi terganggu. Daripada pagi hinggalah ke petang rasa macam tak buat apa-apa yang bermanfaat. Ada tugasan yang sepatutnya diselesaikan, tetapi kita gagal laksanakan. Di penghujung hari, mulalah rasa terkilan dan kecewa dengan diri sendiri.

Sebab itulah masa perlu diurus dengan lebih sistematik. Para ulama’ kita dan tokoh-tokoh barat juga banyak berkongsi tips dan kaedah untuk mengurus masa dengan baik. Dalam buku ‘Masa, Peliharalah’ ini, Prof Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada mencatatkan beberapa tips yang boleh kita praktiskan supaya masa kita lebih tersusun dan diisi dengan perkara yang bermanfaat.

1. MESTI ADA PERANCANGAN

Pertama sekali, mesti buat perancangan. Sebelum tidur, luangkan masa sebentar untuk membuat perancangan untuk hari esok. Lagi terbaik kalau kita dapat buat perancangan untuk seminggu terus. Jadikan rutin setiap hari Jumaat atau mana-mana hari yang kita suka untuk buat ‘coffee session’ sama ada sendirian atau dengan pasangan untuk bermuhasabah dan membuat perancangan.

Boleh guna aplikasi google calendar untuk masukkan aktiviti yang kita ingin lakukan pada hari tersebut. Google calendar ni mudah dan sangat praktikal, nak set reminder pun boleh.

2. TETAPKAN PRIORITI

Senaraikan semua tugasan yang ada dan tetapkan keutamaan setiap tugasan. Selesaikan tugasan yang PENTING & URGENT terlebih dahulu, kemudian barulah selesaikan tugasan-tugasan lain. Tapi sebelum tu, maklumlah kita manusia yang sering terlupa; apabila mendapat sesuatu tugasan, terus masukkan tugasan tersebut dalam senarai tugasan kita atau masukkan terus dalam google calendar pada masa dan tarikh yang kita rancang untuk selesaikan tugasan tersebut. Barulah tugasan itu tidak tercicir.

3. FOKUS

Ada pelbagai aplikasi yang boleh kita gunakan untuk melatih dan mendisiplinkan diri untuk fokus apabila sedang melakukan sesuatu tugasan. Banyaknya gangguan khususnya daripada media sosial membuatkan kita gagal menyiapkan tugasan malah terpaksa memperuntukkan masa yang lebih lama untuk menyiapkan tugasan tersebut.

Rugilah kan kalau sepatutnya kita boleh siap dalam masa 30 minit, tetapi sebab tak fokus; satu jam setengah baru kita selesai. Rugi dah satu jam masa yang boleh kita guna untuk selesaikan tugasan yang lain. Boleh cuba aplikasi pomodoro ini untuk bantu kita fokus : https://pomofocus.io

4. BETULKAN NIAT DAN MUHASABAH

Niat adalah perkara paling asas apabila kita nak melakukan sesuatu amal kebaikan. Kalaupun kita berjaya menguruskan masa dengan baik iaitu dengan hal yang bermanfaat, tetapi niatnya bukan kerana Allah; sudah tentu sia-sia segala amal perbuatan. Rugi kan? Sebab itu kena sentiasa betulkan niat dalam setiap amal yang kita lakukan, antara caranya adalah dengan memulakan apa jua tugasan dengan  بسم الله الرحمن الرحيم

Muhasabah juga sangat penting supaya kita tahu mana letaknya kelemahan kita dan kecacatan kita dalam menguruskan masa. Sebagai contoh, sambil baring sebelum melelapkan mata boleh muhasabah sekejap bagaimana masa kita pada hari ini dihabiskan. Ada tak ruang-ruang masa yang kita isi dengan hal tidak bermanfaat. Kalau ada, terus pasang azam untuk memperbaiki pengurusan masa kita dengan lebih baik untuk hari esok.

Dalam buku ini juga, Prof Zulkifli kongsikan beberapa kaedah Ulama mengatur masa mereka. Antaranya adalah:

Dalam shuhuf yang diturunkan Allah kepada Nabi Ibrahim, terdapat kata-kata hikmah yang menyebut:

Seseorang yang berakal selagi belum hilang akal mesti membahagikan masanya kepada beberapa bahagian iaitu:

  1. Satu bahagian digunakan untuk bermunajat kepada Tuhannya.
  2. Satu bahagian lagi digunakan untuk bermuhasabah
  3. Satu bahagian lagi digunakan untuk memikirkan ciptaan Tuhan
  4. Satu bahagian lagi digunakan untuk melaksanakan hajat dirinya (seperti makan dan minum)

Rabi’ bin Sulaiman pula berkata bahawa Imam al-Syafi’i membahagikan masanya pada waktu malam kepada 3 bahagian iaitu:

  1. Satu bahagian untuk ilmu
  2. Satu bahagia untuk beribadah
  3. Satu bahagian untuk tidur

Petikan daripada Bab 5.

Begitulah sekadar cacatan yang hakikatnya adalah peringatan untuk diri sendiri. Jom kita sama-sama bermujahadah untuk menguruskan masa dengan baik, insya-Allah.

Baca: Masa, Peliharah! (Bahagian 1)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *