Masa: Peliharalah! (Bahagian 1)
Bismillah.
Bila berbicara soal masa, sebenarnya kita sedang berbicara tentang umur yang Allah pinjamkan kepada kita. Makna kata, jika masa dibazirkan, maka umur juga telah dibazirkan. Sedangkan umur ini hanyalah pinjaman Allah yang bila-bila masa sahaja akan diambil kembali sesuai dengan qadar Allah.
Dalam buku ‘Masa, Peliharalah’ karangan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, di awal pengenalannya menekankan soal bagaimana masa yang dikurniakan kepada kita ini menentukan kebahagiaan atau kebinasaan hidup. Jika masa diuruskan dengan baik dengan hal-hal bermanfaat, maka itulah kesempurnaan hidup. Sebaliknya, jika masa terbuang atau diisi dengan perkara yang sia-sia, maka musnahlah kehidupan.
“Allah SWT bersumpah dengan masa kerana masa menjadi perkara pokok bagi manusia. Hal ini menunjukkan, apabila manusia berpegang dan beriman (menjaga) masa dengan sebenar-benarnya, maka kehidupan seseorang akan menjadi sempurna. Oleh itu, masa adalah perkara yang paling utama di antara yang perlu dijaga sebagai seorang Muslim“
Petikan daripada Bab 1 buku ‘Masa, Peliharalah’
Jujurnya, menguruskan masa dengan baik ini adalah satu perjuangan yang memerlukan kekuatan spiritual dan disiplin yang tinggi. Kenapa saya sebut sebagai ‘kekuatan spiritual’ adalah kerana kita perlu menempuh mujahadah melawan nafsu dan syaitan yang akan sentiasa membisikkan dengan halus agar kita menangguhkan amal kebaikan dan mengisi masa dengan perkara yang tidak berfaedah.
Maka mohonlah pertolongan kepada Allah dengan berdoa dan sentiasa berusaha mencari dan mempraktiskan kaedah terbaik bagi menguruskan masa. Saya kongsikan beberapa petikan daripada buku ini, mudah-mudahan menjadi motivasi dan pendorong untuk kita sama-sama memperbaiki pengurusan masa. Agar dengan masa yang ada ini, mendapat keberkatan daripada Allah. Bila berkat, dengan masa yang sedikit pun kita dapat menyelesaikan banyak amanah.
WAKTU HIDUP SEBELUM WAKTU MATI
“Perbanyakkanlah melakukan perbuatan yang manfaatnya akan dirasakan setelah mati nanti, kerana jika kematian itu tiba, terputuslah seluruh amal perbuatan, hilanglah seluruh harapan, dan yang tinggal hanya sebenar-benar penyesalan.”
Begin with the end in mind. Begitulah tips pertama yang dikongsikan Stephen Covey dalam buku beliau berjudul ‘7 Habits of Highly Effective People’. Kita bermula dengan memikirkan bagaimana pengakhiran yang kita mahu. Sudah tentu pengakhiran yang baik di sisi Allah yang kita inginkan, maka mulalah berusaha menguruskan masa dengan baik, yang menjadi modal untuk kita menambah bekal amal soleh menuju kehidupan akhirat.
DUNIA TEMPAT PERSINGGAHAN
Daripada Abdullah bin Umar R.Ahuma, Rasulullah SAW bersabda:
“Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau musafir”
Riwayat al-Bukhari (6416)
“Islam mengajar bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan di mana kita berada di dalamnya untuk mempersiapkan diri menempuh kehidupan yang kekal abadi di akhirat sana. Maka ambillah dunia sekadarnya dan jadikan akhirat sebagai tujuan utama“
“Segala yang ada di dunia ini perlu disalurkan untuk dapat mencapai matlamat utama iaitu keuntungan pada hari akhirat. Kesempatan hidup yang sementara ini menjadikan seseorang bersungguh-sungguh dan tidak berlengah-lengah lagi. Justeru, setiap detik dan setiap saat perlu diisi dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.”
MENGHITUNG AMAL
Menghitung amal di sini bermaksud sentiasa bermuhasabah akan masa yang telah habis dalam kehidupan kita ini, adakah digunakan untuk amal soleh atau sebaliknya. Sebab itu pentingnya muhasabah diri, kerana daripada muhasabah inilah kita kenal kelemahan dan keaiban diri lalu kita berusaha untuk memperbaikinya.
“Setiap muslim hendaklah menghitung amal yang telah dilakukan, jangan sesekali membiarkan waktu pergi walau sedikit pun tanpa diisi dengan amal soleh. Sepanjang berjalannya masa, hendaklah diisi dengan amal-amal soleh. Jangan sesekali diisi dengan amal yang keji. Apabila melakukan perkara keji hendaklah segera diganti dengan amal soleh. Dan apabila melakukan amal soleh hendaklah dipertahankan terus sehingga ajal menghampiri.
“Kerana setiap detik dari kehidupan manusia ada nilai harganya. Barangsiapa mensia-siakan, bererti telah mensia-siakan sebahagian umurnya yang tidak akan kembali lagi“
Begitulah sekadarnya, beberapa petikan daripada buku ‘Masa Peliharalah’. Buku yang sangat bermanfaat bagi mereka yang berazam untuk mengubah kehidupan ke arah lebih baik dengan mula belajar menguruskan masa dengan sempurna. Insya-Allah saya akan kongsikan dalam bahagian 2 bagaimana ulama’ dahulu menguruskan masa dan apa kaedah pengurusan masa yang boleh kita praktiskan.
Baca: Masa, Peliharah! (Bahagian 2)
Wallahua’lam.