Sesuatu Yang Indah
Bismillah.
Setiap hal yang hadir dan pergi daripada kehidupan ini sentiasa membuatkan kita berfikir sendirian. Kerana berfikir dan meneliti setiap episod kehidupan ini samada dalam fasa nikmat atau ujian, seringkali akan menemukan kita dengan sesuatu yang sangat indah – tawakal yakni berserah dan bersandar sepenuhnya kepada Allah SWT.
Mengapa tawakal itu adalah sesuatu yang sangat indah? Sehinggakan perlunya kita sentiasa berdoa kepada Allah agar apa jua rezeki dan ketetapan yang Dia berikan, biarlah hal itu menambah taqwa dan tawakal kita kepada Allah. Kerana tawakal tanda hati mengakui kelemahan diri, lalu kepada siapa lagi diri yang lemah ini hendak berharap jika bukan kepada Tuhan.
Tawakal memandu hati yang sedang resah ditimpa ujian agar kekal tenang. Kita meyakini hidup ini adalah dalam genggaman Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ketika hati merasa ragu-ragu atas pilihan yang kita lakukan atau merasa sakitnya kehilangan mahupun kekurangan dalam kehidupan ini, pujuk diri bahawa kita ada Allah tempat bersandar dan berharap. Bisikkan pada hati:
حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
“Cukuplah Allah sebaik-baik penolong”
Catatan ini ditulis satu ketika dahulu sebelum Allah rezekikan satu ujian yang benar-benar menguji apa yang diri sendiri tulis. Hakikatnya untuk mencapai darjat tawakal ini bukan semudah menuturnya di bibir atau membisikkannya di dalam hati. Tetapi dengan ujianlah yang akan mengajar diri agar benar-benar bertawakal kepada Allah.
Tawakal juga sebuah rezeki daripada Allah yang perlu kita usaha dengan mujahadah dan tidak putus berdoa kepada Allah agar dikurniakan sekeping hati yang tenang dan sentiasa bertawakal kepada-Nya. Bukankah Allah SWT telah menjanjikan kepada orang yang bertawakal sebagaimana dalam surah At-Talaq ayat 2-3 yang bermaksud:
“….Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah menetapkan ketentuan bagi setiap sesuatu”
Maka, tenanglah duhai hati. Carilah Allah dalam sujudmu, bahkan dalam setiap saat kehidupan ini. Dia sentiasa ada buat hamba-Nya yang mencari.
Wallahua’lam.