Jurnal Hadis

Marah Ke Tu?

Bismillah.

Beberapa minggu yang lalu, saya perasan yang hati saya cepat sangat panas. Bila berlaku sesuatu yang saya tak suka, terus hati rasa menggelegak. Tak tahulah kenapa, mungkin sebab keuzuran syar’ie, kitaran hormon tak stabil lalu menganggu pula kestabilan emosi. Begitulah saya cuba memujuk diri.

Jadi bila Brother Kaleem cerita tentang hadis ‘Jangan Marah’ yang merupakan hadis ke-16 daripada Hadis 40 karangan Imam Nawawi, saya jadi sangat teruja. Seolah-olah sedang berjumpa dengan doktor untuk mengubati hati yang cepat je rasa nak marah. Hadis tersebut berbunyi begini:

Daripada Abu Hurairah r.a.: Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: “Janganlah engkau marah.” Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: “Janganlah engkau marah.”

Perkara pertama Brother Kaleem terangkan berkenaan hadis ini adalah, marah bukan perwatakan seorang muslim. Bermakna, jika kita dapati pada kita ada sifat seorang pemaaf, haruslah kita berusaha untuk mengubati dan mengawal sifat marah itu.

Perkara kedua adalah, sebagai seorang muslim, kita kena sentiasa berusaha melatih diri dengan sifat sabar, bersyukur, murah hati, merendah diri dan pelbagai lagi sifat yang baik. Sebab, bila sifat-sifat yang baik ini mendominasi hati, insyaallah sifat pemarah tu, lama-lama akan hilang.

Ketiga, kita kena belajar untuk mengawal kemarahan. Kerana kita tahu sifat marah ini membuka pintu kepada syaitan untuk membisikkan kemungkaran. Bila kita marah biasanya kita akan bertindak atau berkata mengikut nafsu amarah tersebut, tidak menggunakan akal dan hati.

Baginda Nabi SAW juga ada menunjukkan jalan kepada kita bagaimana nak mengawal kemarahan. Antaranya adalah berwudhu’, jika kita sedang berdiri, hendaklah kita duduk, jika kita duduk hendaklah kita berbaring. Dan paling penting bila rasa nak marah, kita ucapkan kalimah isti’azah:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Jom kita renungi dua hadis Baginda Nabi SAW berkenaan sifat marah ini:

1. Orang yang kuat adalah orang yang berjaya menahan marah

Dari Abu Hurairah radliallahu ‘anhu bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu yang pandai bergusti, tapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan nafsunya ketika ia marah.” (HR Bukhari No: 5649) Status: Sahih

2. Orang yang berjaya menahan marah, dikurniakan bidadari

Siapa yang menahan marah, padahal ia dapat memuaskannya (melampiaskannya), maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di depan sekalian makhluk. Kemudian, disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya.” (HR. Abu Dawud-At-Tirmidzi).

Brother Kaleem ada ceritakan satu kisah daripada Anas Bin Malik. Namun saya tak jumpa rujukan berkenaan cerita ini. Anas Bin Malik merupakan sahabat Nabi yang melayan Nabi sejak daripada kecil lagi. Jadi biasalah, kanak-kanak ada kenakalan. Namun Rasulullah SAW tidak pernah sesekali meninggikan suara kepada beliau.

Ada lagi satu kisah berkenaan Baginda Nabi SAW yang sedikit pun tidak marah apabila ada seorang Arab Badwi berkasar dengan Baginda, malahan Baginda tersenyum!

Daripada Anas bin Malik, beliau berkata: “Aku berjalan bersama Rasulullah SAW, Baginda mengenakan selendang dari Najran yang tepinya kasar. Tiba-tiba datang seorang Arab Badwi dari belakang dan menarik selendang dengan kuat sehingga aku melihat ada bekas tepi hujung selendang di tengkuk Rasulullah SAW kerana kuatnya tarikan Arab Badwi itu.

Kemudian Arab Badwi itu berkata, “Wahai Muhammad, perintahkan agar aku diberi sebahagian harta Allah yang ada padamu. Aku tidak meminta hartamu, juga harta ayahmu.”

Rasulullah SAW terdiam sejenak ketika mendengar permintaan orang Badwi itu.

Lalu Baginda berkata, “Benar, semua harta itu kepunyaan Allah dan aku adalah hamba-Nya. Kerana kamu sudah berbuat kasar kepadaku, aku harus mendapatkan balasan yang setimpal.”

“Tidak mungkin,” jawab orang Badwi itu.

“Kenapa tidak mungkin?” Tanya Rasulullah SAW. Jawab orang Badwi, “Kerana engkau tidak membalas kejahatan dengan kejahatan.”

Mendengar jawapan itu, Rasulullah SAW tersenyum. Baginda kemudian memenuhi keinginan orang Badwi yang menyakiti Baginda. (Muttafaqun Alahi: Al-Bukhari – 6088)

Wallahua’lam.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita hati yang sabar dan kuat untuk menahan marah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *