Fikir Atau Zikir
Bismillah.
Pernah tak ada satu masa tu, kita rasa berat sangat kepala memikirkan pelbagai hal. Hal keluarga, hal kerjaya, hal jemaah dan bermacam lagi perkara. Kadang-kadang sampai rasa nak pecah kepala. Rasa nak menjerit kuat-kuat biar tenggelam segala kebingitan fikiran yang seolah tiada kesudahan.
Banyak berfikir ini adalah satu perkara yang baik sebenarnya. Sebab dengan berfikir, kita dapat memahami, mencari penyelesaian malah dapat menambahkan keyakinan kita dalam sesuatu perkara.
Contoh kita berfikir tentang alam. Bagaimana Allah SWT mendirikan langit tanpa tiang. Bagaimana Allah SWT menahan burung yang terbang agar tidak jatuh ketika burung mengatupkan sayapnya. Berfikir sebegini akhirnya akan membawa kita untuk merasa kekerdilan diri lantaran melihat keagungan dan kehebatan ciptaan Allah – yang akhirnya menambah keimanan kita kepada Allah SWT.
Tapi tapi……
Berfikir ni ada batasnya. Selagimana kita ini bergelar hamba yang sifatnya lemah, maka akal yang dikurniakan Tuhan ini juga sifatnya lemah. Oleh kerana itulah diturunkan Al- Quran dan Sunnah sebagai panduan kepada akal yang lemah ini.
Jom kita lihat apa yang boleh kita lakukan apabila menghadapi situasi sebegini.
1. Banyak Berzikir Mengingati Allah.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 41-42:
يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًًا كَثِيْرًا وَ سَبِّحُوْهُ بُكْرَةً وَ أَصِيْلاً
“Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.”
Berzikir mengingati Allah SWT ini membantu ‘mengikat fikiran’ kita agar tidak menerawang berfikir perkara-perkara yang tidak perlu dan di luar kawalan kita. Perkara sebegini akhirnya memenatkan akal, mencetuskan emosi yang negatif dan kita jadi hilang ‘mood’ dan motivasi.
Dengan mengingati Allah SWT, kita melatih diri untuk memusatkan ingatan atau fikiran kita atau dalam perkataan lainnya disebut sebagai fokus. Sebagai contoh, mengingati Allah SWT dalam bentuk menunaikan solat dan membaca matsurat memerlukan akal kita untuk fokus menghayati kepada setiap bacaan dan rukun agar solat dan zikir itu benar-benar memberi bekas pada jiwa.
Berusaha dan bermujahadahlah untuk berzikir mengingati Allah walaupun hanya dengan menyebut basmalah sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Lagipun dengan banyak berzikir ni, hati akan jadi tenang. Hati yang tenang dapat membantu kita berfikir dengan baik dan rasional. Hati dan fikiran yang tenang pula akan terzahir melalui percakapan dan setiap tingkah laku kita.
2. Menulis Jurnal
Apabila ada banyak perkara yang bermain dalam fikiran, cuba ambil satu buku atau kertas dan catat segala perkara yang bermain di kepala. Kemudian lihat kembali setiap perkara tersebut. Ada tak yang boleh kita eliminate kerana perkara itu bukan dalam kawalan kita? Ada tak perkara atau tugasan yang boleh kita delegate kepada orang lain? Ada tak perkara yang agak mudah dan kita boleh bertindak dengan segera?
Dengan cara begini, kita boleh singkirkan perkara yang kita tak perlu fikir pun sebenarnya sebab kita tak mampu dan tak ada kuasa pun untuk menyelesaikannya. Kita juga dapat menyerahkan sesuatu tugas kepada orang lain yang kita rasakan boleh membantu atau sememangnya hal itu adalah tanggungjawab orang tersebut.
Sebagai contoh, seorang suri rumah merasa serabut sebab banyak kerja yang perlu diselesaikan sebelum raya. Jadi agihkan tugasan tersebut kepada suami dan anak-anak mengikut kesesuaian dan kemampuan masing-masing. Jadi bolehlah kita fokus pada perkara yang penting dan berada dalam kawalan kita sahaja.
‘Ala kulli hal, perlu kita sentiasa ingatkan diri bahawa manusia ini tidak ada daya dan upaya melainkan kekuatan dan pertolongan daripada Allah SWT. Suka saya sebutkan kembali apa yang dikongsikan oleh Ustazah Norhafizah Musa dalam satu ceramah beliau:
“Perkara yang sukar akan jadi mudah dengan pertolongan Allah. Begitulah sebaliknya, perkara yang mudah akan jadi sukar tanpa pertolongan Allah SWT.”
Jadi, fokus kita adalah untuk mendapatkan pertolongan Allah SWT dalam setiap urusan kita iaitu urusan ibadah, kerja, rumah tangga dan sebagainya. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud:
“Dan mohonlah pertolongan Allah SWT dengan sabar dan solat, dan (solat) itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.”
Wallahua’lam.