Jurnal Kehidupan

Cinta

Bismillah

I love you.
I love you too.
Biasakan kita ucap lafaz ini pada pasangan, anak-anak, dan mak ayah? Itulah salah satu cara kita mengekspresi rasa kasih dalam hati. Sebab kita nak orang yang kita sayang tahu yang kita kasih kepada mereka.
Perasan tak bila kita mengucapkan i love you dengan hati yang ikhlas, disebaliknya mengandungi dua lagi ungkapan tersirat iaitu ‘i’m sorry’ dan ‘thank you’. Dua ungkapan inilah yang menjadi tanda cinta. Kita akan sering memohon maaf dan berterima kasih kepada orang yang kita sayang.
Semalam, dalam perjalanan pulang ke rumah, tiba-tiba tercetus monolog dalam hati.
‘Aku cinta Engkau Ya Allah.’
Terasa ‘awkward’ melafazkan cinta kepada Tuhan. Entah kenapa. Rasa malu sebenarnya.
Layakkah aku mencintai Tuhan?
Layakkah aku, seorang hamba yang berdosa, yang dalam hatinya bersarang pelbagai penyakit, yang sering kali lalai untuk taat, layakkah aku mencintai Tuhan yang Pengasih?
Tunduk. Malu sendiri. Malu dengan Tuhan.
Tapi saya pernah dengar pesan Ustazah Noraini Hussin semasa retreat DMPK tahun lepas, kata Ustazah;
“Kalau nak mencintai Allah, kita kena sentiasa lafazkan ‘Aku cinta Allah, Aku sayang Allah’.”
Lebih kurang begitulah pesan Ustazah. Sebab ungkapan itu akhirnya akan meresap ke dalam hati sehingga kita cinta dengan sebenar-benar cinta kepada Allah S.W.T.
Sebagaimana sayang kita pada manusia, begitu juga cinta kepada Allah, malah perlu lebih lagi. Perlu lebih lagi memohon keampunan, perlu lebih lagi berterima kasih kepada Allah kerana banyak nikmat-Nya yang telah kita kecapi, tidak terhitung dan tidak cukup rasanya masa yang ada ini untuk kita mensyukuri segala pemberian-Nya.
Tuhan, izinkan kami mencintai-Mu dengan hati yang tulus ikhlas mengharapkan rahmat dan keampunan-Mu. Tidak ada yang lebih kami inginkan selain Engkau reda kepada kami, di dunia dan akhirat.
Tuhan, izinkan kami.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *