Jurnal Kehidupan

Sentap

Bismillah.

Allah mengajar kita dengan pelbagai cara. Sebab itu perjalanan kehidupan kita ini jangan dipandang pada zahir sahaja tapi pandang juga dengan pandangan hati. Dan saya rasa sebab itu jugalah manusia ini sangat perlu kepada sifat tawadhu’ dalam diri iaitu ‘humble’, sentiasa bersedia dinasihati dan merasakan diri kita ini masih kurang ilmunya, masih kurang imannya, masih kurang ibadahnya.

Dengan sifat tawadhu’ ini, hati lebih mudah menerima nasihat dan teguran orang sekeliling kita, apatah lagi yang diterima itu didikan atau teguran langsung daripada Allah SWT.

Semalam saya menghubungi seorang sahabat. Sebenarnya nak menyatakan rindu tetapi begitulah seorang Tasnim kadang-kadang merasa segan. Kebetulan sahabat saya itu kelihatan sedang berniaga secara online, beliau menjual baju muslimah. Jadi, nak merancakkan perbualan saya mulakanlah proses jual beli.

Semasa sedang berbalas-balas mesej, masuk satu mesej beliau yang berbunyi:

“Tasnim, Adik reply lepas maghrib ya, Adik nak siap-siap untuk solat maghrib dulu.”

Tiba-tiba terasa malu sendiri. Tengok jam. Lahh..dah pukul 7 lebih rupanya. Tak sedar sunggu masa berlalu. Cepat-cepat saya ke dapur untuk menutup tingkap. Kemudian saya duduk sekejap termenung.

Selama ini, definisi solat awal waktu saya adalah dengan bangun mengambil wudhu dan terus menunaikan solat sebaik sahaja selesai azan. Rupanya, solat awal waktu bukan sahaja bangun bersiap untuk solat sebaik sahaja azan, tetapi sebenarnya kita perlu bersiap sedia untuk solat sebelum azan dilaungkan lagi.

Tempoh bersiap sedia untuk solat sebelum azan dilaungkan bukan sahaja dari aspek membersihkan diri dan mengambil wudhu’, tetapi jaga persediaan akal dan hati untuk menghadap Allah SWT. Mempersiapkan akal agar mengenepikan segala urusan dunia dan fokus kepada mengerjakan solat dengan rukun yang sempurna manakala mempersiapkan hati pula adalah dengan jelas akan tujuan solat itu sendiri.

Apakah tujuan solat?

Allah SWT berfirman dalam Surah Taha ayat 14 yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan selain aku, maka sembahlah aku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.

Ya, untuk mengingati Allah. Kerana fitrah manusia itu mudah lupa. Boleh jadi semasa bekerja tadi, kita lupa untuk berzikir kepada Allah, lupa memulakan kerja dengan nama Allah. Jadi solatlah yang akan menjadi ruang untuk kita kembali mengingati Allah, kembali mengingatkan diri kita bahawa seluruh kehidupan kita ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Menjadi hamba yang sebenar-benarnya.

Sebagaimana yang sering kita ulang dalam bacaan Doa Iftitah:

اِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي ِﷲِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah, Tuhan sekalian alam.”

Jika diperhatikan dalam Doa Iftitah, Surah Al-Fatihah, rukuk, sujud dan iktidal, kesemuanya mengandungi kalimah pujian kepada Allah. Maka tahulah kita bahawa tujuan solat juga adalah untuk menzahirkan kesyukuran kita kepada Allah SWT.

Seperti yang diceritakan oleh Ummul Mukminin Saidatina ‘Aisyah rha:

“Rasulullah SAW biasanya jika beliau solat, beliau berdiri sangat lama hingga kakinya mengeras kulitnya. ‘Aisyah bertanya, ‘Wahai Rasulullah, mengapa engkau sampai demikian? Bukankan dosa-dosamu telah diampuni, baik yang telah lalu maupun yang akan datang? Rasulullah besabda: ‘Wahai Aisyah, bukankah semestinya aku menjadi hamba yang bersyukur?’” (HR. Bukhari no. 1130, Muslim no. 2820).

Begitulah tarbiyah sentap yang saya terima semalam, langsung dari Allah SWT, melalui seorang sahabat yang sangat saya sayang.

Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah perjuangan memperbaiki solat dari aspek rukun mahupun khusyuk perlu diteruskan. Mudah-mudahan kita kembali kepada Allah SWT dengan hati yang ikhlas mengabdikan diri kepada-Nya.

Terima kasih Adik atas teguran yang sangat bermakna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *