Tempat Bersandar
Bismillah.
لاحول ولا قوة إلا بالله
Teringat-ingat pesan Ustazah Hafizah Musa. Antara tips untuk menjaga hati agar ikhlas melakukan amal kebaikan adalah dengan memulakan kebaikan tersebut dengan dua kalimah. Bismillah dan لاحول ولا قوة إلا بالله .
Bismillah untuk mengingatkan kita bahawa tujuan amal kebaikan yang dilakukan itu hanyalah untuk Allah, bukan mengharap perkara yang selain daripada Allah. Dengan menyebut nama Allah itu, kita mula fokuskan matlamat daripada amal kebaikan itu hanyalah untuk mencapai reda Allah dan meraih pandangan Allah, bukan pandangan manusia.
Manakala kalimah لاحول ولا قوة إلا بالله pula mengingatkan kita bahawa kita tidak ada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan dan pertolongan yang Allah berikan. Penghayatan kalimah ini mencetuskan rasa kehambaan (tawadhu’) lalu kita mengakui kelemahan diri dan seterusnya kita meletakkan 100% pergantungan kepada Allah (tawakkal). Tawakkal tidak akan wujud jika tidak ada hati yang tawadhu’ kerana mana mungkin hati yang merasa hebat dalam segala hal nak berharap dan bergantung kepada Allah. Tawakkal lahir dari hati yang penuh dengan rasa kehambaan.
Saya suka mengulang-ulang kalimah لاحول ولا قوة إلا بالله ini. Bukan apa, kita sebagai manusia yang tersangatlah lemah, kadang-kadang merasakan setiap amal kebaikan atau pencapaian dalam hidup ini adalah daripada kemampuan dan kebolehan diri kita. Mulalah kita memandang rendah pada orang lain. Sedangkan kita nak mengangkat kelopak mata pun dengan izin Allah. Apatah lagi nak melakukan hal-hal lain. Sungguh, kita tak ada daya dan upaya.
Tulisan ini hanyalah peringatan buat sendiri yang mudah lalai dan lupa. Moga sedikit sebanyak menjadi nasihat yang baik juga buat yang sudi membaca, terutamanya buat anakanda Aisyah Safiya, anugerah terindah buah mama.
Ya Allah, kami sandarkan segala urusan kehidupan kami ini kepada-Mu, untuk Engkau bimbing dengan taufiq dan hidayah-Mu dalam setiap langkah, tutur kata, amal perbuatan serta dalam setiap keputusan yang kami lakukan. Allahumma ameen.