Jurnal Kehidupan

7 Tahun

Bismillah Walhamdulillah.

14 Februari 2022 lalu, genap 7 tahun perkahwinan kami. Tahun-tahun sebelum ini, kebiasaannya saya sentiasa mengingatkan suami tentang tarikh ini dengan beberapa hint supaya beliau membelikan saya sesuatu sempena ulangtahun perkahwinan. Maklumlah suami kita bukan naturally romantis nak buat suprise delivery hantar bunga ke kan. Memang tak ada..huhu. Tapi saya tak pernah berkecil hati sebab dah faham suami begitu. Jadi saya akan sentiasa ingatkan suami untuk belikan sesuatu sebagai tanda.

Pernah sekali tu suami bawa balik sebentuk cincin jed yang harganya ketika itu RM12 sebentuk. Masa tu berbunga-bunga sangat rasanya hati ni. Begitulah gembiranya isteri menerima pemberian ikhlas seorang suami meskipun pemberian itu pada mata dunia hanyalah rendah nilainya. Tetapi bagi isteri, nilainya bukan pada pemberian tapi pada ikhlasnya memberi.

Petang itu, balik daripada kerja suami ajak jalan-jalan di Aeon Mall Shah Alam. Tempat biasa kami dating sebelum Safiya hadir dalam hidup kami. Setibanya di sana, suami berjalan sambil memegang erat tangan saya.

“Minta maaf Tas, hambar je sambutan annivessary kita tahun ni.”

Sebak rasa. Dalam hati saya berbisik.

“Cukup dah abang ada di sisi Tas selama ini.”

Tak mampu nak luahkan takut jadi drama air mata pula. Kali ini, saya tak rasa nak meminta apa-apa kerana saya dah rasa cukup. Cukup dengan limpahan kasih sayang dan pergorbanan seorang suami.

Terlalu banyak kebaikan dan kesabaran suami yang tak mampu saya sebut, tak mampu saya ingat. Dan pastinya tak mampu saya balas. Hanya doa kepada Allah SWT agar urusan suami dipermudahkan, rezekinya dilapangkan dan diberikan keberkatan. Paling penting, kehidupan suami sentiasa dalam bimbingan taufiq dan hidayah daripada Allah.

Dalam usaha memelihara keharmonian berumah tangga, ada dua perkara yang kita boleh lakukan bagi menjaga hubungan yang baik antara suami dan isteri.

Pertama, sentiasa mengucapkan terima kasih walaupun dalam sekecil-kecil perkara. Boleh kata, mulut isteri ni kena murah dengan berterima kasih. Seorang suami suka rasa dihargai. Segala kepenatan dan pengorbanannya terasa ringan apabila mendengar kalimah keramat ‘terima kasih’.

Bahkan ‘terima kasih’ ini boleh berjangkit. Apabila kita sering berterima kasih kepada suami, suami juga akan rajin berterima kasih kepada kita. Hati kita pun senang. Anak-anak yang sering mendengar ucapan terima kasih ini juga akan meniru dan mengikut perbuatan berterima kasih sehingga ia terbentuk menjadi akhlak yang baik.

Dan bukankah berterima kasih sesama manusia itu juga salah satu cara kita menzahirkan kesyukuran kepada nikmat Allah?

Maka berterima kasihlah sesama manusia, dan perbanyakkan syukur kepada Allah.

‘Ala kulli hal, segala amal kebaikan yang kita lakukan, dan segala kebaikan yang diberikan suami kepada kita, segalanya itu adalah kenikmatan daripada Allah jua. Kerana tiadalah daya upaya kita dan suami dalam melakukan kebaikan melainkan semuanya atas kehendak dan kekuatan Allah jua.

Kedua, memohon kemaafan daripada suami setiap hari khususnya selepas menunaikan solat bersama dan sebelum tidur. Kadang-kadang kita rasa tak buat salah apa pun dengan suami, tapi kita tak tahu mungkin ada kata-kata kita yang mengguris hati, raut wajah yang tidak kena di mata suami dan sebagainya. Bahkan boleh jadi ada waktu kita memandang rendah pada suami dan merasakan diri kita lebih baik, maka hal itupun sudah menjadi satu dosa terhadap suami. Ucapkan istighfar memohon keampunan Allah dan mohonlah kemaafan daripada suami.

Begitulah sekadar coretan sebagai peringatan buat diri dan sebagai tanda ulangtahun perkahwinan yang ke-7. Telah cukup segala nikmat yang Allah kurniakan buat kami. Jadikanlah kami hamba yang senantiasa bersyukur dan kekal istiqamah dalam ketaatan.

“Ya Allah, bantulah kami agar kami sentiasa mengingati dan menyebut nama-Mu, bantulah kami agar sentiasa bersyukur kepada-Mu dan bantulah kami agar sentiasa memperbaiki ketaatan kami kepada-Mu.”

Jagalah ikatan suci kami ini Ya Allah, tidak terungkai selamanya, di dunia dan akhirat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *