Random Thought
Bismillah.
Apabila kita sudah terbiasa melaksanakan sesuatu ibadah sama ada ibadah fardhu atau sunat, makna kata kita istiqamahlah buat amalan tu; kadang-kadang amalan tu jadi seolah-olah seperti adat atau rutin harian sahaja. Hilang makna dan kemanisan dalam beribadah. Tidak memberi bekas pada jiwa.
Sebab itu pada satu-satu masa tu, kita rasa hati tak tenang, jiwa rasa kacau, cepat marah dan rasa macam ‘something wrong somewhere’. Padahal kita tak tinggal solat fardhu, solat sunat ada juga dibuat sedikit sebanyak, Al-Quran insyaallah setiap hari baca.
Jadi mana silapnya?
Nak cari silap pada diri ni, antara jalan-Nya adalah beruzlah. Bersendirian dengan Allah dan memikirkan tentang kehidupan kita di dunia dan memikirkan bagaimana nasib kita di akhirat nanti.
Lalu kita berfikir pula tentang bagaimana kita mengisi masa yang Allah kurniakan. Dengan amal yang baikkah? Atau dengan perkara maksiat dan sia-sia?. Bagaimana pula keadaan ibadah yang dilakukan saban hari; kerana apa kita lakukan, ikhlaskah kita semata-mata kerana Allah? Akhlak kita bagaimana dengan ibu-bapa, suami, anak-anak dan orang sekeliling?
Hal-hal ini, apabila difikirkan secara mendalam, akan nampaklah lompong-lompong yang perlu diisi, akan nampaklah aib dan cela yang perlu diperbaiki. Jalannya adalah dengan berfikir menggunakan akal yang Tuhan kurniakan ini.
Setiap daripada kita, perlu berusaha mencari satu masa untuk diri sendiri, orang putih kata ‘Me Time’. Bagi kita orang yang beriman, ‘Me Time’ adalah masa yang kita luangkan khusus buat Allah SWT sahaja, berfikir, merenung, mengadu dan berdoa kepada-Nya.
Semoga Allah mengurniakan ruang untuk beruzlah setiap hari. Tidak semestinya di tikar sejadah, dapat berfikir dan merenung sambil melihat ciptaan Allah di luar sana pun, insya-Allah akan memberi makna pada kehidupan ini.
Hidup ini jangan dibiarkan beku dan kaku. Perlu sentiasa berusaha memperbaiki iman kepada Allah, ibadah dan juga akhlak sesama manusia.
Wallahu’alam.