Perang Tabuk Siri 3: Kisah Kaab Bin Malik
Bismillah.
Dalam Perang Tabuk, ada 4 orang sahabat yang tidak turut serta. Mereka adalah Kaab Bin Malik, Murarah ibn Rabi’, Hilal bin Umaiyah dan Abu Khaithamah. Namun begitu Abi Khaithamah pergi juga mengejar Rasulullah SAW dan tentera Islam lain yang telah pun bertolak. Kerana beliau merasa tidak patut ketika seorang Nabi sedang melalui perjalanan yang panas terik sedang beliau tinggal di dalam khemah yang sejuk.
Setelah Rasulullah SAW pulang daripada Perang Tabuk, satu persatu mereka yang tidak pergi berperang bertemu dengan Rasulullah SAW untuk menyatakan alasan mereka, termasuklah dalam kalangan mereka ini golongan munafiqin. Adakah Kaab dan dua orang lagi sahabatnya juga memberi alasan? Jom kita renungi kisah ini yang telah diceritakan dalam buku Golongan Yang Tercicir di Sepanjang Jalan Dakwah karangan Fathi Yakan.
“Rasulullah bertanya kepada aku (Kaab Bin Malik): Apakah yang menyebabkan engkau tidak ikut serta (perang tabuk)? Aku menjawab: Sesungguhnya wahai Rasulullah, demi Allah jika aku duduk mengadap ahli-ahli dunia nescaya engkau mendapati yang aku mampu menghilangkan kemarahannya dan aku dimaafkan. Aku diberi kemampuan berhujah. Tetapi demi Allah, sesungguhnya aku ketahui bahawa jika aku bercerita dusta kepada engkau di hari ini dengan tujuan mendapatkan keredhaan engkau, aku bimbang akan kemurkaan Allah. Dan jika aku menceritakan kepada engkau dengan cerita sebenar maka aku mengharapkan darinya akan balasan Allah tentang itu. Demi Allah, sesungguhnya aku tidak mempunyai keuzuran apa-apa. Aku sihat dan mempunyai kemampuan di ketika itu. Kata Rasulullah s.a.w: Memang benar kata-katamu, bangunlah sehingga Allah menghukumkan perkara kamu ini.”
[Petikan dari buku Golongan Tercicir m/s27-28]
Atas dasar keimanan Kaab kepada Allah dan Rasul, beliau tidak berdusta semata-mata untuk membela dirinya, tetapi beliau mengaku kesalahan beliau dan sedia dihukum kerana dosanya dalam mengharap agar Allah mengampunkan dosanya serta menerima taubatnya. Kita dapat perhatikan, dalam setiap kalam Kaab, pasti beliau akan mulakan dengan ‘Demi Allah’. Menunjukkan, apa yang beliau lakukan itu hanyalah semata-mata kerana Allah.
“Rasulullah SAW menegah orang-orang islam bercakap dengan kami bertiga (Kaab Bin Malik, Murarah, Hilal) yang tidak ikut serta ke Tabuk. Orang ramai pun menjauhkan diri daripada kami sehingga aku merasakan seluruh penghuni bumi ini menolak aku”
[Petikan dari buku Golongan Tercicir m/s 28]
Berdasarkan petikan diatas, dapat kita perhatikan betapa taatnya umat islam ketika itu akan arahan Rasulullah. Mereka memulaukan ketiga-tiga sahabat itu bukanlah kerana kesalahan yang telah mereka lakukan. Tetapi mereka melakukannya kerana itu adalah arahan Rasulullah s.a.w. Subhanallah. Begitu berkesan sekali dasar aqidah yang telah nabi terapkan kedalam diri umat islam waktu itu.
“Apabila keadaan pulauan ini berpanjangan aku pergi ke rumah Abi Qatadah iaitu sepupu aku-orang yang paling aku sayang. Aku memanjat pagar rumahnya dan aku beri salam kepadanya tetapi demi Allah, dia tidak menjawab salamku. Aku berkata kepadanya, aku bersumpah dengan nama Allah bahawa sesungguhnya aku kasihkan Allah dan RasulNya. Dia tidak berkata apa-apa. Aku ulang lagi tetapi dia masih tidak menjawab. Kemudian aku ulang lagi dan dia pun mengatakan: Allah dan RasulNya sahaja yang mengetahui. Air mataku lantas keluar berderai.”
[Petikan dari buku Golongan Tercicir m/s 29]
Subhanallah, seakan ingin mengalir air mata membaca kisah ini. Bagaimana rasanya bila orang tersayang sendiri memulaukan kita? Sudah tentu dada rasa begitu sempit, sakit dan perit. Kepahitannya hanya bisa ditelan, Kaab harus akur dengan hukuman yang sedang menimpanya. Kaab faham, sepupunya itu hanya melaksanakan perintah Rasulullah, bukanlah membencinya semata-mata.
“Selepas 40 hari, utusan Rasulululah SAW memerintahkan supaya aku mengasingkan diri dari isteriku. Aku bertanya, apakah aku perlu menceraikannya. Utusan itu mengatakan tidak; tetapi hendaklah mengasingkan diri dan jangan mendekatinya. Rasulullah SAW menghantar utusan yang serupa kepada dua orang sahabatku yang lain. Lantas akupun mengatakan kepada isteriku: Baliklah ke rumah keluargamu dan tinggallah dengan mereka sehingga Allah menghukumkan keadaan aku ini kerana Dialah Penghukum sebenar.”
[Petikan dari buku Golongan Tercicir m/s 30]
Dalam petikan kisah diatas, Kaab Bin Malik, atas dasar keimanan kepada Allah dan Rasul, beliau sanggup melaksanakan apa sahaja yang diperintahkan oleh Rasulullah, demi mengharapkan Allah menerima taubatnya. Beliau pasrah dengan hukuman yang Allah tetapkan baginya sebagai penebus atas kesilapan yang telah dilakukan. Bahkan, andai Rasulullah mengarahkan beliau menceraikan isterinya pun, pasti beliau akan laksanakan tanpa sebarang bantahan.
“Keadaan demikian berlaku sehingga sepuluh hari, menjadikan jumlah hari lima puluh semuanya, pada hari kelima puluh aku pergi bersembahyang subuh di belakang sebuah rumah dari rumah-rumah kami, dalam keadaan sungguh-sungguh terasa sempit seolah-olah bumi ini tidak mahu menerima kami. Tiba-tiba aku dengar suara orang memanggil aku dengan kuatnya, mengatakan wahai Kaab, bergembiralah. Aku terus sujud kepada Allah kerana aku yakin bahawa jalan keluar telah ada iaitu,’Allah akan menerima taubat-taubat kami’. Selepas sembahyang subuh, Rasulullah SAW pun mengizinkan orang ramai mengunjungi kami untuk mengucapkan ucapan gembira.”
[Petikan dari buku Golongan Tercicir m/s 31]
Allah menghukum Kaab sehingga satu ketika, Kaab sudah tidak mampu menanggungnya. Bumi terasa menghimpit beliau. Pada saat itulah, Allah menerima taubatnya. Kegembiraan Kaab setelah taubatnya diterima turut dirasakan oleh umat islam ketika itu. Mereka gembira sebagaimana Kaab gembira. Mereka memulaukan Kaab bukanlah kerana benci, namun kerana arahan Rasulullah semata-mata. Maka apabila Kaab dibebaskan, mereka ternyata gembira dengan perlepasan Kaab dari kesilapan lalu.
“Dan aku berkata lagi: Wahai Rasulullah, aku telah dibebaskan oleh dengan ‘kebenaran’. Oleh itu sebagai tanda taubatku juga aku tidak akan bercakap selama aku hidup kecuali dengan cakapan yang benar.”
[Petikan dari buku Golongan Tercicir m/s 32]
Rupa-rupanya, ia adalah satu ujian bagi Kaab. Disebabkan ‘kebenaran’ yakni beliau bercakap benar kepada Rasulullah, akhirnya Allah menerima taubat beliau. Sungguh, kebenaran itulah yang menyelamatkan beliau dari kemurkaan Allah.
Alhamdulillah. Sungguh besar hikmah yang boleh diambil dari kisah Kaab Bin Malik. Ibrah yang paling besar adalah, kita lihat bagaimana tahap keimanan mereka yang jitu, teguh, menjadi dasar dalam kehidupan mereka. Mereka tetap teguh berpegang kepada asas keimanan iaitu keimanan kepada Allah dan Rasul. Atas dasar inilah mereka membenci, Atas dasar ini juga mereka berkasih sayang. Ketaatan kepada Allah dan Rasul itu adalah yang tertinggi, melebihi segala-galanya.
Dan kalau kita perhatikan dalam kisah ini, Rasulullah SAW memaafkan orang-orang munafik yang memberi bermacam alasan untuk tidak pergi berperang. Namun Rasulullah SAW menangguhkan kemaafan buat Kaab dan dua orang lagi sahabatnya itu sebagai ujian. Begitulah ujian yang diberikan kepada orang beriman ini bukanlah kerana Allah murka, tetapi kerana kasih sayang Allah yang ingin membawa kita kembali kepada Allah dengan penuh kepasrahan. Mudah-mudahan ujian itu menjadi asbab dihapuskan dosa-dosa kita dan memperteguhkan keimanan dan kecintaan kita kepada Allah.
Wallahu’alam.