Resensi Buku Sirah

Perang Tabuk Siri 1-Cinta Mendorong Kekuatan Luar Biasa

Bismillah.

Alhamdulillah, dengan izin Allah pembacaan Fiqh Sirah sudah sampai ke jilid ke-3. Rasa terkilan juga tak mampu nak catat semua isi penting dalam sirah nabawiyah ini. Namun kata orang, jika tak mampu buat semua, jangan tinggalkan semua. Jadi, di pagi yang hening ini saya nak kongsikan satu kisah perang agak unik dan mengandungi banyak hikmah yang boleh direnung dan dijadikan pedoman iaitu Perang Tabuk.

Keunikan perang tabuk ini adalah tidak berlaku pertempuran di dalamnya. Perang ini berlaku ketika musim panas yang suhunya sangat tinggi dan kebetulan ketika itu juga adalah musim buah-buahan di Madinah yang sudah sedia untuk dituai. Oleh itu, perang ini adalah satu ujian kepada orang-orang yang benar beriman, yang ikhlas berjuang demi Allah dan Rasul-Nya.

Kerana perjalanan peperangan tabuk ini adalah perjalanan yang jauh merentasi padang pasir. Ia sebuah perjalan yang sukar dan berat. Kata Ustaz Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti dalam buku ini:

“Angkatan tentera muslimin yang mengharungi kesulitan itu diberi nama ‘Jaisyu-Usrah’ (tentera yang dalam kesukaran)-dalam perang tabuk yang menghadapi penderitaan itu telah memakan korban harta dan tenaga serta kerehatan mereka tepat pada waktunya. Semuanya itu mereka korbankan disamping menghadapi penyeksaan yang sungguh hebat. Mereka telah membuktikan iman serta kasih yang sejati kepada Allah.

Maka sebagai membalas keimanan tentera yang teguh itu, Allah SWT mengurniakan kemenangan yang sangat istimewa-kemenangan tanpa pertempuran! Allah telah menurunkan rasa gerun dalam hati pihak musuh (Rome di Tabuk) hingga akhirnya mereka ditundukkan dengan dikenakan jizyah. Padahal, kekuatan tentera mereka berlipat ganda daripada tentera muslimin. Begitulah, Allah melakukan apa yang Dia kehendaki. Tidak ada yang mustahil bagi Allah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Begitulah keimanan sahabat-sahabat Baginda Nabi SAW yang ikhlas berjuang demi Allah dan Rasul. Alangkah hebatnya jiwa yang dipenuhi dengan kecintaan kepada Allah dan Rasul. Kecintaan yang memenuhi hati itu mendorong mereka meninggalkan nikmat kerehatan dirumah lalu memilih untuk melalui perjalanan yang sukar dan berat, yang mengorbankan harta dan tenaga. Apalah sangat nak dibandingkan dengan jihad dan pengorbanan kita di masa ini. Banyak beralasan, sedangkan masa banyak berlalu dengan perkara sia-sia.

Semoga Allah mengurniakan kita, ahli keluarga dan anak keturunan kita, hati yang bersih dari cinta dunia dan penyakit-penyakit ujub, riak, takabbur, hasad dengki dan prasangka buruk. Agar yang memenuhi hati itu, hanyalah cinta kepada Allah dan Rasul semata-mata. Yang akhirnya mendorong akal, lisan dan tubuh badan untuk sentiasa beribadah kepada-Nya, membantu gerak kerja dakwah, serta meninggalkan perkara maksiat dan sia-sia.

Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *