Memiliki Jiwa Yang Tenang dengan Al-Halim
Bismillah.
Teringin hendak memiliki sebuah hati yang sentiasa tenang dan lapang. Dan ketenangan itu terpancar pada riak wajah, tutur kata dan tingkah laku. Dalam apa jua keadaan, kita dapat hadapi dengan jiwa yang tenang. Tidak gopoh, tidak mudah marah, tidak mudah berkecil hati, tidak bersangka buruk, tidak menyimpan dendam dan sebagainya. Alangkah tenangnya sekeping hati yang tidak memiliki sifat-sifat begini. Tapi hatiku…. Allahuakbar. Tuhan sahaja yang mengetahui keadaan hatiku ini 🙁
Sebentar tadi, saya terbaca satu tulisan dalam AlQuran Terjemahan Al Haramain yang diterbitkan oleh Karya Bestari berkenaan nama Allah Al-Halim, Allah Yang Maha Memaafkan atau ada juga yang menterjemahkannya sebagai Yang Maha Penyantun. Saya salin kembali apa yang tertulis:
“Allah SWT mempunyai nama Al-Halim yang maksudnya adalah kesabaran yang dipenuhi ketenangan namun tidak lalai dan Maha Memaafkan segala bentuk keburukan. Dialah Yang Maha Suci yang memberikan ketenangan kepada hamba-hamba-Nya yang taat agar ketaatan dan pahala mereka semakin bertambah, serta memberikan peluang kepada penderhaka agar mereka dapat kembali kepada ketaatan dan jalan yang benar.”
“Seorang muslim yang mengesakan Allah dengan nama ini seharusnya mempunyai peribadi yang bijaksana, penyabar dan akan tercermin di dalam pendapat dan perlakuan sehariannya. Berfikir untuk memilih sesuatu yang lebih bermanfaat untuk dirinya atau orang lain di dalam setiap ucapan atau perbuatannya. Dia mesti melapangkan dada dan menahan marah sekiranya ada orang yang iri hati kepadanya, bersegera memohon maaf, bertaubat, dan memohon keampunan ketika merasakan bahawa dia telah membuat sesuatu yang buruk kepada sesama muslim kerana sesungguhnya Allah Maha Bijaksana lagi suka kepada kebijaksanaan dan kemurahan. Rasulullah SAW bersabda kepada Asyaj Bin Abd’ul Qays, ‘Sesungguhnya pada diri kamu ada dua perkara yang Allah sukai, iaitu kebijaksanaan dan kemurahan’-Sahih Muslim(17)”
[Dr Mahmud Abdurrazak Ar-Ridwani, Ad-Du’au bil Asma’il Husna, 2005: 59]
Saya kira, nama Allah Al Halim ini, sangat dekat dengan kita khususnya bagi seorang ibu dan wanita. Kerana wanita sering dikaitkan dengan pelbagai emosi yang berubah-ubah. Apatah lagi seorang ibu yang menguruskan anak dengan pelbagai kerenah, sudah tentu sangat memerlukan kepada sikap tenang dan memaafkan.
Al-Halim, sebuah nama Allah yang kita boleh jadikan inspirasi dan kita boleh berdoa dengan nama Allah ini, agar dikurniakan sikap yang tenang dan memaafkan dalam apa jua keadaan. Agar dengan sikap yang tenang ini, kita dapat istiqamah memberi manfaat kepada orang sekeliling kita dengan penuh kasih sayang yang murni serta dapat membahagiakan orang yang berada disamping kita. Ya, kita akan bahagia dengan membahagiakan orang lain, insyaallah.
Wallahua’lam.