Mengutip Hikmah di Perang Uhud
Bismillah
Alhamdulillah ‘la kulli hal. Masih diizinkan untuk bangkit pada hari ini, mudah-mudahan dikurniakan kekuatan untuk terus beramal-mendekatkan diri kepada Allah. Pagi ini, insyaallah saya nak kongsikan sedikit penulisan Ustaz Muhammad Sa’id Ramadan Al Buti dalam buku beliau Fiqh Al-Sirah 2 berkenaan satu peristiwa yang berlaku dalam Perang Uhud.
Banyak hikmah dan pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah Perang Uhud ini. Sebuah peperangan di mana umat Islam hampir menang, namun kerana terpesona dengan harta rampasan dan tidak taat pada arahan Baginda Nabi SAW, kaum musyrikin yang dipimpin oleh Khalid Al-Walid kembali menyerang lalu menyebabkan ramai umat Islam yang syahid dan cedera parah. Sehingga Baginda Nabi SAW sendiri terluka, patah gigi Baginda dan berdarah di bahagian muka. Allahuakbar.
Ketika keadaan tentera islam tidak lagi teratur kerana tiba-tiba diserang kembali oleh tentera musyrikin, ramai sahabat-sahabat Nabi SAW menjadi perisai untuk melindungi Nabi. Antara sahabat yang berkorban demi melindungi Nabi adalah Abu Talhah, Abu Dajanah, Zaid bin Al Sakan, Ammarah bin Yazid bin Al Sakan dan Imarah bin Yazid.
Lalu persoalan yang timbul daripada peristiwa ini adalah-apakah yang mendorong para sahabat Nabi ini menjadikan tubuh mereka perisai bagi melindungi Nabi?. Mereka teguh berdiri sehinggalah mereka syahid lalu digantikan dengan sahabat yang lain pula. Untuk memahami hal ini, marilah sama-sama kita membaca dan merenung sejenak apa yang telah dinukilkan oleh Ustaz Muhammad Sa’id Ramadan Al Buti dalam buku ini.
“Itulah dia keimanan yang sejati, pertama keimanan kepada Allah SWT dan kedua cintakan Rasulullah SAW. Dua faktor ini membawa mereka berkorban sedemikian rupa. Setiap muslim memerlukan kepada roh dan semangat ini. Tidak cukup sekadar mendakwa aku beriman dengan segala tuntutan dan ciri aqidah kecuali setelah hati sanubari melimpah dengan kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya.”
“Bagi menjelaskan hakikat ini maka Allah SWT telah membekalkan ke dalam diri manusia dengan akal dan hati. Akal-supaya dengannya seorang mukmin boleh berfikir untuk beriman dengan segala tuntutan manakala hati pula-supaya dengannya manusia menggunakan bagi mencintai segala urusan yang dicintai Allah dan membenci segala yang dibenci Allah.”
“Sekiranya hati ini tidak dipenuhi dengan kecintaan kepada Allah dan Rasulnya serta golongan salihin (orang-orang yang sentiasa dalam kebaikan dan ‘ubudiyyah) dari hamba-hamba-nya maka pasti kekosongan itu dipenuhi dengan syahwat hawa nafsu dan perkara-perkara yang terlarang. Dan apabila hati itu hanya melimpahi dengan syahwat hawa nafsu maka amat jauhlah aqidah seseorang itu dari membawa tuannya untuk berkorban atau mengerjakan sesuatu yang mendatangkan faedah.”
Apakah Jalan Untuk Mencapai Kecintaan Ini?
Kata Ustaz Muhammad Sa’id Ramadan Al Buti:
“Ketahuilah saudara bahawa pencapaiannya adalah dengan:
1. Banyak berzikir
2. Banyak berselawat ke atas Rasulullah SAW
3. Banyak merenung dan memikir akan limpahan kurniaan Allah dan nik’mat pemberian-Nya
4. Banyak memerhati sirah Rasulullah SAW, akhlak dan budi pekerti baginda
Kesemuanya dilakukan setelah selesainya wujudnya istiqamah dalam ibadah dalam keadaan takut, hadir diri, berdoa restu kepada Allah dari semasa ke semasa.”
Apa yang dapat kita simpulkan adalah, usaha-usaha perlu diadakan bagi memupuk dan menyuburkan kecintaan kepada Allah dan Rasul. Kerana natijah daripada kecintaan itulah akan lahirnya seorang hamba yang sanggup berkorban dalam melaksanakan tuntutan agama dan sentiasa berusaha melaksanakan dan menyebarkan kebaikan yang menjadi manfaat kepada semua.
Wallahu’alam.