Resensi Buku Sirah

Mengutip Hikmah di Perang Badar

Bismillah.

Pagi ini, saya sekadar ingin berkongsi tulisan Ustaz Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti dalam buku Fiqh Al-Sirah 2, ketika beliau membahaskan hikmah dan pengajaran daripada peristiwa Perang Badar. Allah s.w.t telah mengilhamkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w bahawa pertolongan akan sampai dan pasukan tentera Islam akan memenangi perang tersebut meskipun jumlah mereka tidak sampai 300 orang (menurut beliau).

Namun begitu, meskipun Allah telah menjanjikan kemenangan buat Baginda Rasulullah s.a.w dan umat islam, Rasulullah tetap mengangkat tangan dan bermunajat memohon pertolongan Allah. Sehinggakan Abu Bakar kasihan melihat Baginda, dan berkata:

“Cukuplah Rasulullah, cukuplah Rasulullah.”

Adakah Baginda Rasulullah tidak yakin dengan janji Allah s.w.t?. Sudah tentu tidak. Jom kita renung dan hayati hikmah dan pengajaran besar yang ditulis Ustaz Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti berkenaan peristiwa ini.

“Adapun berdoa hingga seolah-olah karam, khusyu’ serta tadarru’ dengan menadah tangan ke langit oleh Nabi s.a.w itu adalah merupakan tugas-tugas ‘ubudiyyah terhadap Allah, kerana untuk ‘ubudiyyahlah maka manusia diciptakan dan itulah dia penghargaan kepada pertolongan Allah dalam setiap keadaan.”

“Tidak ada kejayaan dan kemenangan sekalipun dengan berbagai cara dan kemudahan melainkan datangnya dari kurniaan dan taufiq Allah s.w.t padahal Allah tidak meminta dari kita selain dari menghambakan diri kepadaNya secara tabi’e atau berikhtiar atau mendekatkan diri (taqarrab) kepada Allah dengan sifat ‘ubudiyyah (kehambaan) dengan cara bersungguh-sungguh atau dengan apa saja cara untuk diperkenankan doanya oleh Allah dari seseorang manusia. Begitu juga dengan orang yang menghambakan diri kepada Allah dengan merendahkan diri nescaya akan mendatang sesuatu yang baik tetapi tidak dapat dilihat dan ianya berada di hadapan Allah.”

“Setiap kesulitan dan dugaan yang menggugat dan mencabar manusia dalam hidupnya adalah merupakan sebab-sebab yang menjadi penggerak untuk menyedari kehambaannya, untuk mengalih kesedaran dan pemikirannya ke arah kebesaran dan keagungan serta qudrat Allah yang nyata supaya kembali kepada Allah dengan serba lemah dan penuh rasa kehambaannya meminta perlindungan dengannya dari setiap bala dan fitnah. Apabila sudah sedar manusia itu terhadap hakikat ini dalam hidupnya dan berubah menjadi baik dalam sikap dan kelakuannya, maka sesungguhnya telah sampai manusia itu kepada garisan batas yang diperintahkan kepada semua hamba-hambanya berdiri tegak di situ.”

Sekian tulisan Ustaz Muhammad Sa’id Ramadan Al Buti.

Apa yang dapat kita rumuskan adalah, sifat ‘ubudiyyah iaitu pengabdian diri kepada Allah, dengan mengakui segala kelemahan diri, merendahkan hati dan semata-mata mengharapkan taufiq dan pertolongan Allah – maka inilah menjadi asbab hadirnya pertolongan Allah, bahkan diberikan ketenangan hati.Kerana setelah kita mengakui kelemahan diri dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah, bermaksud kita telah yakin kepada janji-janji Allah – dari situlah hadir ketenangan hati lantaran kita meyakini kita berada pada tangan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *