Jurnal Kehidupan

Kematian Yang Menghidupkan 2

Bismillah.

Entah bagaimana bisa saya mulakan bicara ini, lantaran kesedihan yang bertimpa-timpa. Dua peristiwa yang berlaku terasa terlalu dekat dengan diri. Pemergian Kak Kumutha beberapa hari yang lalu, meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa ini. Memikirkan dekatnya beliau dengan Islam, berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk membantu perjuangan Islam, ayat Al-Quran yang sentiasa meniti dibibir ketika diberi peluang berucap. Namun, takdir Allah Dia pergi tanpa sempat beriman kepada-Nya. Allahuakbar. Sungguhlah, hidayah itu milik Allah.

Saya meluahkan pada seorang sahabat, Anis Hamizah. Saya tahu beliau rapat dengan seorang non-muslim yang juga aktif membantu perjuangan PAS iaitu Kak Nirmala. Kata Anis, kita kena mula bina hubungan baik dengan non-Muslim. Tambahan pula, saya telah menjalani Kursus Metodologi Dakwah Fasa 1 dan 2 yang membincang khusus berkenaan dakwah kepada non-muslim. Terasa amanah itu lebih berat, kerana ilmu telah ada tinggal lagi masa untuk mempraktikkan segala yang telah dipelajari. Ya Allah, berikanlah hamba ini kekuatan, dan kurniakanlah taufiq dan hidayahMu khususnya buat non-muslim yang dekat dengan kami, yang bersama kami dalam perjuangan membantu agamaMu.

Beberapa hari kemudian, dapat pula berita duka pemergian Cik Sidah, Ketua Muslimat Cawangan Seksyen 26. Allahuakbar, beliau pergi secara tiba-tiba, membuatkan kami semua terkejut. Ada daripada kami yang baru semalam berbual dengan Cik Sidah berkenaan gerak kerja jemaah. Masih segar dalam ingatan kenangan bergerak kerja ketika PRU14. Sayu rasanya hati, Tuhan saja yang tahu. Terbayang wajahnya yang lembut, terzahir pula pada akhlak dan tutur katanya. Sungguh, Tuhan lebih menyayangimu Cik Sidah. Ya Allah, tempatkanlah saudaraku ini di syurgaMu, kami bersaksi akan kebaikan dan jasanya menyumbang masa dan tenaga untuk agamaMu.

Seharusnya berita-berita kematian yang saban hari sampai kepada kita, menghidupkan hati-hati yang lalai. Kerana kematian itu pasti akan berlaku dan ia adalah rahsia Allah jua. Sampai masa, orang lain pula akan menerima kematian kita. Namun kita sering terlupa, kita tidur di malam hari dengan penuh keyakinan bahawa hari esok kita akan bangkit. Sedangkan ada orang tidur di malam hari, dan dia tidur buat selama-lamanya.
Sebab itu manusia sangat perlu kepada peringatan dan nasihat tentang kematian. Bukan untuk melemahkan jiwa, tetapi sebagai titik mula untuk kita kembali kepada Allah, melaksanakan segala perintahnya, menjauhi larangannya serta sentiasa berusaha menjadi mukmin yang baik. Orang putih kata ‘begin with the end in mind’. Kita inginkan pengakhiran hidup yang baik, maka kita perlulah mula berbuat amal soleh.
Wallahu’alam.
“Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami husnul khatimah dan jauhkanlah kami daripada pengakhiran yang buruk, serta kumpulkanlah kami, ahli keluarga kami serta sahabat-sahabat kami di syurga mu Ya Allah. Kami pohon rahmat dan kasih sayangMu.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *