Cinta dan Kasih Kepada Allah
Bismillah.
Rasa cinta dan kasih kepada seseorang takkan hadir tanpa kita mengenali seseorang itu. Rasa cinta dan kasih juga timbul dengan adanya pengorbanan. Sebagaimana kita mengasihi ibu bapa kita, melihat pengorbanan mereka membesarkan kita dengan susah payah, maka timbul rasa kasih yang bersangatan kepada mereka;lalu kita mendoakan mereka.
Begitu juga kasih antara suami dan isteri. Di awal perkahwinan 6 tahun yang lalu, saya sering termenung memikirkan betul ke jodoh yang saya pilih ini lantaran tiada rasa cinta yang hadir. Rupanya, cinta yang sebenar-benarnya itu terpupuk dengan pengorbanan. Bukan dengan kecantikan, bukan dengan kemewahan harta benda. Pengorbanan masa, wang ringgit malah pengorbanan ego dan emosi. Dari situlah cinta tumbuh dan mekar.
Bagaimana pula menanam rasa cinta terhadap Allah swt? Tuhan yang menciptakan kita sebagai seorang manusia yang sempurna dan mempunyai akal.
Saya tiada ilmu untuk mencorekkan bahasa tentang cinta kepada Allah ini, kerana saya pun masih berjuang (insyaallah) untuk meraih redha dan cintaNya. Meskipun kadang-kadang dalam perjuangan ni, ada waktunya kita tersungkur, kita bangkit kembali. Ada waktunya kita jatuh ke lembah yang gelap, namun kita terus berpaut untuk naik kembali. Yang pasti tidak boleh ada istilah berputus asa selagi mana nyawa masih dikandung badan.
Saya kongsikan susunan kata Ibnu Qayyim Al Jauziyah yang sangat menyentuh hati, yang terdapat dalam Al-Quran Terjemahan Al-Haramain terbitan Karya Bestari.
“Allah swt menghimpunkan antara kemenangan dan rezeki; kerana setiap hamba sangat memerlukan seseorang membela dan menolongnya dari musuh, serta memberikan manfaat dari rezeki-Nya. Oleh itu, harus ada yang menolong dan memberi rezeki, dan hanya Allah sahajalah yang dapat menolong dan memberi rezeki itu. Dialah Allah Yang Maha Memberi Rezeki dan Maha Memiliki Kekuatan yang tiada bandingan.
Kerana itu hanya Allah semata-mata yang mencukupi hamba-Nya, yang menolong, memberi rezeki dan menjaganya. Dan kesan dari semua ini ialah tawakal kepada Allah, memohon pertolongan, berdoa dan meminta hanya kepada-Nya, tidak kepada yang lain. Juga memberikan kesan adanya kecintaan dan penyembahan kerana kebaikan-kebaikan-Nya kepada hamba-Nya, serta curahan nikmat-Nya ke atas hamba. Jika hamba itu mencintai, menyembah dan bertawakal kepada-Nya, maka dia telah merealisasikan makna uluhiyyah (ketuhanan Allah) dengan sebenar-benarnya.
Perumpamaan dari hal tersebut adalah seperti orang yang terkena musibah besar atau ditimpa ketakutan, lalu ia berdoa kepada Allah dan merendahkan diri kepada-Nya, sehingga Allah membuka baginya pintu kenikmatan kerana munajatnya kepada Allah dan disebabkan oleh besarnya keimanan yang dimilikinya. Kembali kepada-Nya itu akhirnya menjadi sesuatu yang dia lebih cintai daripada hajat yang dimaksudkan pada awalnya, tetapi sebelumnya dia tidak tahu, sehingga dia mencari dan merindukan-Nya.”
Ayat terakhir ini terasa sangat benar. Kadang-kadang kita bangun di penghujung malam untuk bermunajat bagi memohon sesuatu hajat. Tetapi ketika kita tenggelam dalam kenikmatan munajat, mengenang nikmat-nikmat-Nya, dan mengenang dosa-dosa kita yang banyak; terlupa sudah tentang hajat tadi. Cukuplah sekiranya Allah mengampunkan dosa-dosa kita, mengurniakan kita hati yang bersih, yang sentiasa mengingati dan mencintai-Nya. Itu sudah sangat-sangat cukup berbanding segala nikmat yang ada atas muka bumi ini.
Akhir sekali, semoga Allah memilih kita untuk masuk syurga tanpa hisab atau dengan hisab yang ringan, dan mudah-mudahan kita dapat melihat wajah Tuhan yang kita berjuang untuk cinta kepadaNya.
Wallahua’lam.