Resensi Buku Sirah

Di Sebalik Uzlah Nabi di Gua Hira’

Bismillah.

Tulisan ini sekadar peringatan untuk diri sendiri yang mudah alpa. Dan jika ditakdirkan saya pergi dahulu (moga-moga Allah kurniakan husnul khatimah), tulisan ini menjadi ilmu yang bermanfaat kepada orang lain.

Dalam kursus Basic in Islam yang saya jalani bulan lepas, salah satu topik yang dibincangkan adalah ringkasan sirah Baginda Nabi Muhammad SAW. Dan saya menyedari betapa kurangnya saya mengenali Baginda Nabi, utusan Allah yang berjuang menghabiskan masa dan kehidupannya di jalan Allah agar Islam sampai kepada kita hari ini.

Lalu saya mulakan pembacaan Fiqh Sirah Jilid 1 yang ditulis oleh Ustaz Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti. Menariknya buku sirah ini, Ustaz Sa’id Ramadan Al-Buti akan menceritakan dahulu sirah Baginda Nabi SAW dan kemudiannya dibincangkan pengajaran dan hikmah yang dapat disingkap daripada peristiwa tersebut.

Salah satu peristiwa yang dibincangkan adalah berkenaan ketika Baginda Nabi SAW berkhalwat di Gua Hira’. Saya salin kem   bali apa yang telah ditulis oleh Ustaz untuk rujukan dan pedoman kita bersama.

“Sebagai hikmat Ilahi di sini, tergambar sesungguhnya diri manusia itu senantiasa diselaputi oleh pelbagai penyakit yang tidak akan diubati kecuali dengan jalan mengasingkan diri, memperhitungkan, dan menghisab diri sendiri di ketika dan di tempat-tempat yang sunyi, jauh dari suasana dunia yang sombong, bongkak, hasad-dengki, bermegah-megah dan sukakan keduniaan.

Segalanya ini merupakan penyakit-penyakit yang mencengkam jiwa dan menguasai hati sanubarinya, yang memainkan peranan yang sangat kotor demi merubah jiwa batin manusia, walaupun amalan soleh dan ibadat yang banyak.

Inilah penyakit dan wabak yang mencengkam manusia tadi dan ia tidak mudah dibasmikan kecuali dengan beruzlah dan mengasingkan diri dengan bertaqarrub dengan Allah Rabbul-Jalil dari masa ke semasa untuk mendapat taufiq hidayah dan inayah Allah.

Kemudian mengalihkan pandangan ke arah diri yang mencari titik-titik kelemahannya di hadapan Allah SWT pencipta alam sejagat seterusnya bertafakkur dan merenung terhadap bukti kekuasaan Ilahi, Hari Akhirat dan mereka yang menginsafi tentang kewujudan Hari Akhirat, rahmat dan balasannya.

Ketika kita bertafakkur dan merenung berulang-kali maka penyakit-penyakit tadi akan sembuh dan hilang sedikit demi sedikit dan tempatnya akan digantikan dengan cahaya dan ketenangan yang abadi.

Bahawasanya tidak ada jalan lain untuk cintakan Allah melainkan dengan cara merenung dan bertafakkur dengan segala nikmat pemberiannya, merenung keagunganNya dan kebesaranNya.

Dengan melaksanakan amalan yang disebutkan Allah akan memutikkan bibit-bibit kecintaan yang berkilau terhadap Allah yang membawa ianya memandang kecil segalanya; tidak menghiraukan sebarang godaan; tidak mempedulikan sebarang azab sengsara yang mungkin dihadapinya malah ia mampu mengatasi segala-galanya ini dengan mudah dan senang.

Inilah senjata yang paling tajam untuk mereka yang akan melaksanakan tugas dakwah dan demikianlah senjata yang telah diperlengkapkan di dalam jiwa Muahmmad SAW untuk baginda melaksanakan dakwahnya.”

Wallahua’lam. Begitulah yang ditulis oleh Ustaz Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti berkenaan hikmah disebalik peristiwa Baginda Nabi SAW berkhalwat di Gua Hira’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *