Jurnal Kehidupan

Amalan Yang Terlebih Baik.

Bismillah.

Usai solat maghrib tadi, seperti biasa, saya memohon maaf kepada suami. Maklumlah, rasa terlalu banyak kekurangan sebagai seorang isteri. Sering dibebani rasa bersalah, rasa gagal menjadi isteri yang baik 🙁

Suami mengucup dahi saya, lebih lama daripada biasa. Tiba-tiba rasa sebak. Dalam tempoh 6 tahun lebih usia perkahwinan ini, banyak sudah pahit manis, suka duka yang kami lalui. Beliau seolah dapat mengesan resah dan gusarnya hati saya ketika ini. Dari semalam ketenangan hati agak terganggu, banyak perkara yang bermain di fikiran.

Keluar dari bilik solat, saya segera mencapai Tafsir Al-Azhar Jilid 10, satu-satunya tafsir yang ada di rumah ini. Itupan saya pinjam aboh punya.

“Harini biar Tas share bacaan tafsir”

Saya volunteerkan diri. Biasa suami yang bacakan. Kami menyambung bacaan tafsir Surah Al-Mulk, baru masuk ayat ke-2. Sangat suka dan tersentuh bacaan tafsir malam ni, seolah penawar, seolah jawapan dari Allah atas kegusaran yang bersarang dalam hati. Saya ringkaskan sedikit apa yang ditulis oleh Prof Hamka:

“Dia yang menciptakan maut dan hayat” (pangkal ayat 2)

Teranglah bahawa Allahlah yang menciptakan mati dan hidup. Tetapi tentu timbullah pertanyaan, mengapa dalam ayat ini maut yang disebut terlebih dahulu, kemudian baru disebut hayat? Padahal manusia hidup terlebih dahulu sebelum mati?

Ini adalah peringatan kepada manusia agar mereka insaf akan mati disamping dia terpesona dengan hidup. Banyak manusia yang lupa akan mati itu, bahkan takut menghadapi maut kerana hatinya yang terikat kepada dunia.

“Kerana Dia akan menguji kamu, manakah di antara kamu yang terlebih baik amalannya” (lanjutan ayat 2)

Maka di antara hidup dan mati itulah, kita mempertinggi mutu amalan diri, berbuat amalan yang terlebih baik atau bermutu.

Tegasnya disini dijelaskan bahawa yang dikehendaki Allah ialah Ahsanu ‘amalan, amalan yang terlebih baik, biarpun sedikit, bukan amalan yang banyak tetapi tidak bermutu. Maka janganlah beramal hanya kerana mengharapkan banyak bilangan, tetapi beramallah yang bermutu tinggi walaupun sedikit.

“Dan Dia adalah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” (hujung ayat 2)

Dengan menonjolkan terlebih dahulu sifat Allah yang bernama Al-Aziz,Yang Maha Perkasa, dijelaskan bahawa Allah tidak boleh dipermain-mainkan. Di hadapan Allah tidak boleh beramal yang separuh hati, tidak boleh beramal yang ragu-ragu. Melainkan kerjakan dengan bersungguh-sungguh, hati-hati dan penuh disiplin. Kerana kalau tidak demikian, Tuhan akan murka.

Tetapi Tuhan pun mempunyai sifat Al-Ghafur, Maha Pengampun atas hambaNya yang tidak dengan sengaja melanggar hukum Tuhannya dan selalu berniat hendak berbuat amalan yang lebih baik, tetapi tidak mempunyai tenaga yang cukup buat mencapai yang lebih baik itu. Pada waktu itulah Tuhan menunjukkan belas kasihanNya, kerana tidaklah Allah memberati seseorang kecuali sekadar kesanggupan yang ada padanya.

Wallahu’alam.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *