Jurnal Kehidupan

Tawwaban Rahiima

Bismillah.
 
Terawih di Masjid Negeri tadi, saya sempat menangkap dua potong ayat Al Quran yang dibacakan oleh Imam.
 
Ayat pertama adalah daripada surah Al Baqarah ayat 45 yang bermaksud; “Dan mintalah pertolongan daripada Allah dengan sabar dan solat.”
 
Ayat kedua daripada surah An Nisa’ ayat 16 yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah maha penerima taubat dan maha penyayang.
 
Rasa tersentuh hati mendengarkan ayat ini. Sampai sekarang terngiang-ngiang bacaan Imam. Sayu dan pilu mungkin mengenangkan perjalanan spiritual yang berliku-liku. Susahnya nak sampai darjat taqwa itu kadang-kadang membuatkan kita terduduk kesal. Sudah bertaubat, diulangi lagi dosa yang sama. Hati pula sentiasa bersarang dengan pelbagai sakit. Ujub, riak, takabbur, hasad dengki, prasangka buruk. Semuanya bagaikan menjadi satu tembok yang menghalang hati dari menerima kebaikan.
 
Kesal dengan diri sendiri. Malu menghadap Tuhan. Begini jauh sekalipun kita dengan Tuhan, masih diberi ruang untuk menghayati sedikit keinsafan yang terbit dari bahagian kecil hati yang masih putih. Betullah kata ulama, selagimana hati ini cenderung pada kebaikan dan merasa resah dengan perkara yang dimurkai Allah, maka itulah sebuah hidayah yang harganya tiada nilaian di dunia.
 
Innallah tawwaban rahiima.
 
Sekali lagi hati membisikkan ayat ini, bersama kesal yang menggunung. Mengapa Allah begitu luas rahmat kasih sayangNya? Pada hamba yang tiada apa-apa amalan hendak dipersembahkan.
 
Tuhan, di bulan Ramadhan yang mulia ini, berikanlah aku redha dan keampunanMu. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *