Kehendak Allah
Bismillah.
Antara kehendak Allah dan kehendak manusia, manakah yang lebih baik?.
Manusia itu adalah hamba kepada Allah. Bila namanya hamba, seluruh sifat kekurangan berkumpul padanya. Lemah, miskin, hina, tidak memiliki, tidak menguasai dan serba kekurangan. Sedang Allah itu, Tuhan yang memiliki segala sesuatu, yang menguasai langit dan bumi serta mentadbir sekalian alam. Bahkan Dialah Tuhan yang maha menyayangi dan mengasihi hambaNya yang memiliki segala kekurangan tadi.
Nah, sekarang cuba lihat. Kehendak Allah atau kehendak manusia yang lebih baik?
Sudah tentulah kehendak Allah. Mana mungkin kehendak kita yang tidak memiliki apa-apa ini yang terbaik. Padahal Allah itu Tuhan yang mengetahui segala sesuatu, yang menciptakan diri kita dan Dialah Tuhan yang sangat pengasih kepada hambaNya. Tidak akan sekali-kali Dia menzalimi hambaNya. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat kita meskipun kehendak-Nya itu tidak kita sukai. Maka layaknya kita sebagai hamba, tundukkanlah hati dan jiwa untuk menerima dengan hati yang lapang terhadap apa sahaja kehendak yang Allah tentukan ke atas kita.
Tuhan telah berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 216 yang bermaksud:
“Boleh jadi kamu benci sesuatu, padahal dia baik bagimu, dan boleh jadi kamu cinta sesuatu padahal dia jahat bagimu.”
Ikhlas kepada Allah.
Ketika kehendak Allah tidak seiring dengan kehendak akal dan hati kita, maka IMANlah yang akan meneguhkan jiwa. Lalu, berlaku ikhlaslah kepada Allah dalam menerima ketentuannya.
Seperti yang telah ditulis oleh Hamka dalam bukunya bertajuk Taswuf Moden;
Berkata Muhammad Bin Said al-Marqazi;
“Segala kejadian itu hanyalah bersumber kepada perbuatan Allah atas diri engkau, dan perbuatan engkau yang akan dihadapkan kepada Allah. Maka hendaklah rela menerima segala perbuatan-Nya, dan ikhlas mengerjakan segala perbuatan engkau terhadap-Nya. Dengan demikian engkau akan beroleh bahagia dunia akhirat.”
Kita Adalah Hamba
Hakikatnya di dunia, tidak ada perbezaan darjat antara kita. Memegang title sebagai medical doctor tidaklah tinggi darjatnya melebihi kerani di pejabat. Mempunyai segulung ijazah tidaklah tinggi kemuliaannya berbanding mereka yang tidak mempunyai apa-apa ijazah. Kerana kita adalah hamba. Siapapun kita, kita tetap bergelar hamba. Dan tujuan hidup seorang hamba itu di muka bumi adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Kita semua melalui satu jalan yang sama iaitu jalan menuju Allah. Yang membezakan darjat antara manusia itu adalah ketinggian budinya dalam menempuh kehidupan. Ketinggian budi dalam hubungannya dengan Allah dan sesama manusia.
Maka tidak perlulah seorang doktor merasa bangga dengan ijazah perubatannya. Seorang ustaz tidak perlu bangga dengan penguasaannya dalam ilmu agama. Begitu juga bagi seorang kerani, tukang sapu atau mekanik. Tidak perlulah untuk merasa terlalu inferior atau merasa cemburu dengan ketinggian pangkat atau pendidikan seseorang. Kerana yang dinilai Allah itu adalah pada title ‘hamba’. Siapa yang menjadi hamba terbaik, yang patuh pada suruhan dan laranganNya; tidak kira status atau pangkatnya, maka dialah yang dipilih Allah untuk memiliki syurgaNya.
Bersyukur.
Akhir sekali, bersyukurlah atas segala pemberian Allah. Kadang-kadang kita terlalu fokus pada beberapa kehendak kita yang tidak ditunaikan Allah. Padahal Allah telah mengurniakan kita banyak lagi nikmat yang langsung kita tidak mohon dariNya. Hitunglah nikmat Allah. Dari segala yang disempurnakan kepada tubuh, hingga nikmat yang melengkapi kehidupan kita di dunia. Jangan pula kita lupa nikmat terbesar yang telah Allah beri, iaitu nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesedaran yang timbul dari dasar hati, iaitu kesedaran bahawa kita adalah hamba, dulu, kini dan selamanya.

Wallahua’lam.