Si Cantik Yang Garang
Hampir sahaja hilang fokus ketika memandu. Terlalu asyik menatap si merah yang cantik. Tiba-tiba rasa sebak menjengah. Entah kenapa. Mungkin kerana si merah itu tanda kasih sayang Tuhan pada hambaNya. Sempat saya berbisik pada si merah sebelum ia hilang dari pandangan.
“Mohonlah pada Tuhanmu, agar Dia mengampunkan dosa-dosaku.”
Lalu ia hilang. Saya mengintai melalui cermin pandang belakang. Tiada. Ingin sekali menatapnya lagi. Kerana kecantikannya sungguh mempesona mata yang memandang. Namun tetap akan sirna bila malam menjelma.
Ada ketikanya si cantik kelihatan garang. Seolah-olah ingin membakar segala makhluk yang ada di bumi. Namun ada ketikanya si cantik bersembunyi di balik awan. Malu mungkin melihat tingkah manusia yang jauh dari Tuhan. Paling best, waktu awal pagi. Kehadiran si cantik benar-benar mendamaikan. Seperti berada dalam pelukan ummi. Tenang, hangat dan menyegarkan. Kadang-kadang sengaja saya berjalan lambat di laluan yang tersimbah dengan sinar kecantikannya. Subhanallah. Cahayanya yang menyentuh kulit, terasa seperti kasih-sayang Tuhan yang menyapa. Dengan kasih itulah, kekuatan hadir untuk terus berjuang menjadi hamba yang taat.
Timbul juga rasa cemburu melihat si cantik. Bukan kerana kecantikannya. Tapi kerana ketaatannya pada Pencipta. Sifatnya yang berubah-rubah itu atas arahan Tuhan jua. Tidak pernah si cantik mengingkari. Bahkan si cantik sentiasa bertasbih mengagungkan Tuhannya.
Ingin sekali menjadi seperti si cantik. Taat dan sentiasa bertasbih.
Hanya ada satu jalan.
Mujahadah.
Tempuhi walaupun pahit.